Thursday, July 31, 2014

Dunia Makin Mudah.. Kita Makin Sukar..? Oh.. kuew teow goreng..

Cara hidup hari ini semakin caca merba? Complicated bak kata 'orang Putih'... Ini bukan kenyataan saya.. Saya sekadar bertanya..

Saya bersyukur sempat menikmati kehidupan ini sebelum era teknologi maklumat melanda.. Saya akui kehidupan saya sebelum era ini melanda adalah lebih mudah.

Segala-galanya bersifat fizikal. Maklumat hanya menerusi buku, majalah, surat khabar ataupun televisyen. Televisyen pun hanya ada 2 siaran RTM... Di kampung saya siaran TV Singapura kadang kala dapat diterima tetapi kerana kabur imejnya, saya tidak begitu berminat menonton siaran itu.

Adakah dunia ketika itu sememangnya sudah caca merba.. tetapi kerana perhubungannya kepada kita yang terbatas menjadikan kita lebih santai 'menikmati' dunia ini?? Atau memang dunia hari ini yang sudah terlebih caca merba...??

Dalam era teknologi maklumat hari ini, semua maklumat kita perlu tahu.. (kalau tidak tahu nanti ketinggalan pula..) Malah menerusi media sosial, rakan-rakan kita bertambah ramai.. Yang dahulu terputus hubungan juga kini macam dekat aje dengan kita kini.. Sedikit sebanyak kita perlu tahu juga perkembangan rakan-rakan.. nanti dikata tidak peduli pula.. Dan kita juga kadang kala memaklumkan juga perkembangan kita kepada rakan-rakan ini.

Ini suatu proses baru dalam hidup kita berbanding dahulu. Sama ada kita sedar atau tidak, proses-proses baru ini sangat menyumbang kepada caca merba hidup kita kini. Masa kita tetap 24 jam juga, tetapi ada banyak perkara-perkara baru yang perlu kita lakukan setiap hari.

Sebagai contoh, dahulu, untuk membina rumah, kita mungkin cuma perlukan seorang tukang yang baik: yang mampu menasihati kita dan mampu membina rumah tersebut. Kini urusannya sudah jadi sangat caca merba dengan begitu ramai pihak kita perlu berurusan. Ini juga sebahagian dari proses-proses baru yang dahulunya tiada. Tentunya kosnya semakin tinggi, dan masanya semakin panjang..

Begitu jugalah dengan segala urusan kita sehari-harian..

Malah saya selalu terfikir, mungkinkah ada lagi watak-watak seperti Ibnu Sina, Leonardo da Vinci, Michealangelo dan ramai lagi tokoh-tokoh ilmu sebegitu pada hari ini.
Professor Universiti hari ini..? Hmm.. jauh sangatlah nak setaraf dengan tokoh-tokoh tersebut..

Untuk makluman, Ibnu Sina adalah seorang ahli perubatan (doktor lah kalau hari ini..), ahli fizik dan juga ahli astronomi yang hebat.

Leonardo da Vinci pula adalah seorang arkitek, ahli matematik, jurutera, anatomis dan pelukis. Dia jugalah yang melukis potret Mona Lisa yang tersohor itu.

Atau apa mungkinkah mereka boleh menjadi pakar dalam bidang-bidang yang pelbagai begitu jika mereka hidup pada era ini?

Saya tidak bermaksud merendahkan kehebatan mereka.. tetapi yang saya persoalkan adalah dengan kehidupan kita yang semakin caca merba begini, kita semakin serba tidak sempat untuk melakukan itu dan ini. Apatah lagi hendak mendalami pelbagai bidang seperti tokoh-tokoh itu.

Untuk renungannya, apakah acuan hidup yang telah era teknologi maklumat ini berikan kepada kita?

Oklah..oklah.. perlu juga.. dunia sudah berubah..
Dan sebagaimana biasa jawapan klisenya ialah kita perlu bersederhana dan usah terlalu taksub sangat kepada media teknologi maklumat ini..

Namun, secara jujurnya saya sendiri pun tidak tahu bagai mana ukuran sederhana itu..
Adakah memadai dengan membuka mail box email setiap pagi serta membalas apa yang dirasakan penting dan melihat 5 hingga 10 posting update Facebook bertaraf sederhana..? Itu pun ambil masa juga bukan..?

Yang jelasnya.. pendapat setiap orang tentu berbeza-beza.. Mungkin bagi sesetengah orang yang lain, mengambil gambar makanan sebelum makan (meski pun itu cuma kuew teow goreng biasa) dan mengambil satu atau dua das selfie bersama makanan itu sambil membuat senyuman muncung macam tikus untuk di'up-load' itu pun sederhana juga..

Entahlah.. Sukahati lah dunia....