Sunday, April 22, 2012

Warga Asing.. Siapa Yang Sebenarnya Terasing?

Marah benar nampaknya Zed Zaidi apabila hero Singapura Aaron Aziz mengungguli artis paling popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian baru-baru ini. Oh.. saya tidak mahu mengulas panjang lebar hal itu lagi. Rasanya sudah bertalu-talu berita berkaitan hal itu disiar dalam akhbar kebelakangan ini. Cuma sentimen beliau itu yang menarik perhatian saya.

Ya, rata-rata di mana pelusuk bumi sekali pun, akan timbul rasa kurang enak di kalangan 'orang asal' apabila yang mendatang tiba-tiba lebih berjaya. Itu sebabnya di sekolah berasrama, janganlah ada dari kalangan junior yang baru sampai sudah nak tunjuk lagak.. buruk akibatnya dikerjakan senior. Di sekolah saya dahulu, seorang junior ditampar mukanya oleh pelajar senior hanya kerana memiliki mata yang menjeling seakan-akan tidak puas hati.. Hah.. itu baru menjeling, belum lagi berjaya dalam apa-apa hal mengalahkan pelajar senior..

Dalam dunia hartanah pula, kini rengus-rengus tidak puas hati juga semakin kuat kedengaran apabila semakin banyak hartanah dibeli oleh para pendatang. Kini sudah ada iklan pembangunan hartanah yang tanpa segan silu mencanangkan pembangunannya sebagai hartanah ideal untuk pesara Singapura.. Yalah, memanglah atas dasar tukaran wang, tentunya warga Singapura memiliki kuasa beli yang tinggi berbanding rakyat kita sendiri. Namun rasanya tak perlulah keluarkan kenyataan sebegitu... Jika sesuai, mereka belilah.. jika tidak sesuai, tidak belilah..

Lalu ramai yang meminta Malaysia mengetatkan pemilikan hartanah oleh warga asing seperti mana yang dilakukan oleh Singapura baru-baru ini.. Namun statistik kajian Malaysia Property Inc. menunjukkan sebenarnya hanya 2% sahaja hartanah di Malaysia ini dimiliki oleh warga asing. Malah dalam masa yang sama nilai wang yang dikeluarkan oleh rakyat Malaysia untuk memiliki hartanah di luar negara berkemungkinan besar lebih tinggi. Berbanding negara-negara lain seperti China, India dan Singapura, kedatangan warga asing dalam kategori ekspatriat (yang mampu memiliki hartanah di Malaysia) sebenarnya merosot -9% sejak tahun 2000.

Dari satu sudut, oh.. baguslah kerana kita tidak perlu bersaing dengan daya beli mereka yang tentunya lebih tinggi.

Namun, apa petunjuknya ini? Ertinya negara kita tidak lagi menjadi pilihan pelaburan asing yang berminat membuka industri cawangan mereka di sini jika trend ini berterusan.

Kesannya? Akan berlakunya ketidaksampaian perpindahan teknologi dari luar yang biasanya membawa pelaburan dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Persoalannya mengapa? Kerana di negara-negara yang menjadi pilihan ekspatriat itu kini memiliki rakyat yang lebih tinggi kepakarannya berbanding kita. Juga lebih murah...

Maka kuranglah peluang pekerjaan di kalangan rakyat Malaysia. Juga bagi yang sudah bekerja, maka menjadi terhadlah potensi pengembangan kepakaran teknologi serta peluang memperolehi gaji yang lebih tinggi.

Akhirnya hartanah di negara ini yang tidak disaingi pembeliannya oleh warga asing tadi juga tidak mampu dibeli oleh rakyat Malaysia. Maka, tidak hairan juga melihat lambakan hartanah di Malaysia yang tidak terjual. Hakikatnya daya beli rakyat Malaysia juga sebenarnya mungkin semakin merosot sedangkan warga asing pun sebenarnya tidak berminat sangat membeli di sini.

Rantaian ini membuktikan undang-undang menyekat kemasukan warga asing dalam apa-apa industri di Malaysia ini bukanlah penyelesaian masalah. Yang masuk di sini hanya segelintir yang lebih kurang seperti kita juga. Sedangkan persaingan sebenar sudah dibuka di luar sana tanpa sempadan. Bukankah dunia sudah di hujung jari kita ?

Yang penting, tingkatkan kepakaran asas kita, berani bersaing dalam wadah tanpa sempadan itu dan dukungi semangat itu dengan doa. Ya, cabarannya memang lebih besar dari ruang lingkup fikiran kita.. ada agenda besar segelintir puak di akhir zaman ini yang mungkin menjadi ancaman kepada kita. Doa itu perisai kita.........

2 comments:

ell said...

yup.. pity on you Zed.. huhu

Izudinshah said...

:).. kita tumpukan kepada pembangunan diri, ell.. :)