Friday, December 6, 2013

Ada kemahirankah kita ini?

Sejauh mana kita mahir dalam sesuatu perkara?

Saya masih ingat suatu ketika dahulu, ketika masih bergelar pelajar di universiti, saya pernah diajak minum di warung bersama pensyarah-pensyarah saya, En. Jamil dan En. Azam. Dalam bersembang-sembang sambil minum itu, keluarlah topik tentang kemahiran dalam diri seseorang insan.

Pada saat dan ketika mana kita mampu berkata yang kita telah memiliki kemahiran yang tinggi dalam sesuatu perkara? Bila kita layak memegang taraf pakar? Cukup kah dengan tiket ijazah PhD seseorang itu menganggap dirinya pakar sedangkan apa yang dikajinya itu hampir kebanyakkannya masih bersifat di atas kertas... Bagaimana pula dengan orang yang bertahun-tahun bekerja melaksanakan pelbagai perkara (malah juga mungkin berinovasi) dalam bidangnya tetapi tanpa sekeping ijazah pun?

Sambil merujuk beberapa contoh dalam bidang mereka, pensyarah-pensyarah saya ini mengupas satu persatu perihal perkara ini secara santai di warung itu. Saya masih ingat kata-kata mereka...

"Sehebat mana pun kemahiran seseorang itu, jika tidak diwarwarkan ianya masih tidak dianggap hebat oleh masyarakat.."

"Seorang yang kemahirannya pada tahap ala kadar pun, jika dia hebat mencanangkan kehebatan kemahirannya akan dianggap berkemahiran tinggi (atau pakar) dalam bidangnya."

Hingga ke hari ini, saya masih mengingati dua 'point' perbincangan sembang-sembang warung itu. Melihat di sekeliling kita, memang akan ada dua watak ini di mana-mana. Di menara gading apa tah lagi...

Saya tolak tepi isu keikhlasan di sini. Bukan urusan kita untuk menilai hati orang lain.. Tetapi saya melihat di sini tentang siapa yang akhirnya akan dapat merebut peluang dan menyumbang dalam masyarakat.

Bahkan dalam kehidupan seharian kita ini juga, untuk menyelesaikan sebahagian besar hal-hal di sekeliling kita ini tidak memerlukan sangat kemahiran yang tingi di tahap pakar itu bukan? Hanya segelintir kecil perkara sahaja mungkin diperlukan kepakaran tinggi itu.

Jadi, apa salahnya mewarwarkan kemahiran yang kita ada, biar pun kecil.. Sekurang-kurangnya mungkin kita berpeluang membantu orang lain dengan kemahiran kecil itu. Bukankah itu lebih baik dari berkemahiran tahap pakar tetapi berdiam diri (sambil konon-kononnya menunggu dijemput memberi pendapat dalam hal-hal besar negara..) tetapi masih tidak menyumbangkan apa-apa kepada masyarakat..

Entahlah.. Saya rasa begitulah sebaiknya..

No comments: