Saya sedikit lemas melihat generasi menghadap skrin ini. Gambar seorang kanak-kanak sedang berkhatan sambil bermain PSP di surat khabar baru-baru ini sangat mengganggu saya. Anak-anak saya kata 'cool' budak itu.. Saya tidak rasa begitu pula..
Ya, memang ada kesan baiknya menatap skrin ini. Maklumat yang melimpah ruah di dalamnya boleh sahaja dibaca untuk menambah pengetahuan kita (hanya pengetahuan sahaja tetapi tanpa pengalaman).. Pilih sahaja apa yang mahu dilihat dan dibaca.. dari yang sebersih-bersihnya hinggalah yang sekotor-kotornya. Semuanya ada.
Tetapi di sebalik itu, kesan buruknya pula ramai yang sudah tahu. Merosakkan mata (bila menghadap cahaya skrin terlalu lama), melemahkan otot (duduk terlalu lama..) dan macam-macam lagi. Skrin ini pula sudah tidak terhad kepada telivisyen dan komputer sahaja. I-phone, I-pad, Tab, PSP dan macam-macam gajet lagi.
Dengan masa kita yang hanya 24 jam sehari (kalau tak tidurlah..), jika kita memiliki kesemua media skrin itu, agak-agaknya berapa jam yang kita ada tanpa menghadap skrin. Jadi, waktu itulah sebenarnya untuk kita bersemuka dengan orang lain, berbual dan memahami dunia sebenar ini. Sedangkan beberapa jam kita menghadap skrin tadi, kita sebenarnya menyendirikan diri (walaupun konon-kononnya bersosial melalui Facebook dan Twitter).
Di dalam kereta ada LCD, dalam poket anak-anak ada PSP dan handphone.. Lalu program bercuti berjalan-jalan pun jadi sepi. Di dalam kereta masing-masing melayan gajet.
Di pejabat usah cakaplah. Memang masing-masing menghadap skrin. Saya memulakan kerja dahulu sebelum penggunaan komputer diaplikasi 100% untuk membuat lukisan pelan. Jadi berpeluang juga berkerja hanya dengan meja lukisan. Seingatnya pejabat di mana saya berkerja itu memang sangat meriah. Apatah lagi setiausaha bos pula sangat cantik. Wah! tambah meriah pejabat...
Berbalik pada generasi sekarang, saya memiliki hati yang skeptikal tentang keupayaan mereka berkomunikasi secara langsung. Sangat berbeza dengan generasi saya yang membesar tanpa pengaruh skrin yang meluas. Yalah kalau sudah berjam-jam tak bercakap, tentu ada kesannya. Mungkin esok nanti jika ibu memesan anaknya membeli barang-barang dapur, si anak hanya membawa Tab yang menunjukkan gambar-gambar itu ke kedai sebelum menyuakannya kepada pekedai. Oh, itu mungkin lebih baik lagi dari terus membeli di laman maya. Tahu-tahu dah sampai depan rumah di dalam peti barangan kita (ya, sudah ada pemilik rumah yang meminta saya merekabentuk peti barangan di sebelah peti pos hadapan rumah kerana kerapnya dia memesan barangan melalui laman maya ini..) Maka jual beli itu berlangsung tanpa perlu kita menggerakkan lidah pun..
Dah lah.. ni pun menghadap skrin juga menulis ni.... Jom kita minum sambil bual-bual di luar..............
No comments:
Post a Comment