Friday, August 5, 2011

Mereka Yang Pergi Julai lalu..

Julai 2011, saya kehilangan tiga orang...

Akhirnya pada 3 Julai 2011, saya tidak lagi mempunyai ninda.. Perginya Hjh Azizah Mahmood mengadap Ilahi menandakan generasi tua dalam keluarga saya kini adalah emak dan abah.

Fenomena perginya setiap generasi ini pernah mengganggu fikiran saya ketika kecil dahulu. Saya sangat terganggu memikirkan bagaimana kelak giliran yang akan pergi itu akan tiba kepada generasi emak dan abah. Ketika itu, saya seakan-akan tidak boleh menerima keadaan itu, lalu cuba untuk tidak memikirkannya. Kini nampaknya apa yang saya risaukan dahulu telah pun tiba, cuma dalam pada umur sendiri telah hampir ke 40, saya kira saya boleh menerima hakikat itu kini. Apatah lagi hari ini, giliran pergi juga kerap kali melangkaui generasi...

Hjh. Azizah atau "Atuk Pon" mengikut panggilan cucu-cucunya, kembali ke rahmatullah setelah hampir 2 bulan terlantar akibat serangan strok. Beliau pendiam, lebih banyak tersenyum dari berkata-kata dan sangat-sangat tidak keras hati. Lantaran itu beliau mudah mengikut keluarga ibu saudara bungsu saya tinggal di Pulau Pinang apabila disarankan ahli keluarga kerana kasihankannya bersendirian sejak Pak Cik Ghafar berpindah ke rumahnya sendiri.

Lalu ketika saya belajar di Pulau Pinang, kerap juga saya ke rumah Mak Su Ros bertemu Atuk Pon. Anak-anak Mak Su Ros masih sangat kecil ketika itu dan mereka membesar dalam keluarga mereka dengan kehadiran Atuk Pon. Maka tidak hairanlah Fakhruddin, Afiq dan Safuan sangat rapat dengan Atuk Pon. Mereka jelas sangat terkesan pada hari pengebumian Atuk Pon..

21 Julai pula saya dikejutkan dengan SMS rakan lama, Dr. Faris, yang memaklumkan En. Wan Burhanuddin, seorang pensyarah kami ketika dalam pengajian senibina telah kembali ke rahmatullah pada usianya 59 tahun. En. Wan merupakan antara pensyarah yang rapat dengan saya.

Di mata saya, beliau memang hebat dalam dunianya yang unik. Tambah hebat apabila beliau mampu mengingati banyak ayat-ayat Al Quran dan mengaitkannya dalam perbualan harian hatta perbualan itu sedang berlangsung santai sesantainya..

Ironinya beliau bukanlah seorang Ustaz apatah lagi Tahfiz. Malah penampilannya lebih mirip gaya orang-orang seni dan sedikit hippies. Beliau selesa dengan topi ala-ala Khalid Salleh dan vest berpoket banyak yang tidak pernah lekang. Poket-poket itulah tempatnya menyimpan pensel, pen dan kertas kecil yang memudahkannya melakar di mana-mana.

Gudang Garam pula menjadi 'kunyahan' tanpa putus yang menyebabkan pelajar-pelajar perempuan tidak mampu bertahan lama menghadap beliau kerana terpaksa menghidu asap tembakau bercengkih itu.

Kuliahnya sentiasa mencabar otak. Projeknya sangat-sangat memerah idea dan janganlah harapkan markah yang tinggi kalau sekadar rekabentuk biasa-biasa sahaja yang dibentangkan. Mana architecture-nya? merupakan soalan kritikan utama beliau... dan kami bisa terkedu untuk menjawabnya.

Sebaliknya jika berjaya mencungkil idea yang baik dari kami pelajar-pelajarnya, beliau akan ketawa panjang dan kami tahu itulah mood terbaik darinya.

Dalam entri beberapa bulan yang lalu juga saya ada menyentuh tentang En. Wan dan projek Beachfest 93 nya. Itu antara projek unik beliau bersama kami yang masih segar dalam ingatan..

Setiap malam dari jam 10 atau 11 beliau akan berada di bilik pejabatnya yang sangat hampir dengan studio kami. Tidak ramai yang sanggup berbual bersamanya dalam sessi malam di biliknya kerana perbualannya akan jauh lebih berat lagi. Tamatnya pula tentunya sekitar jam 4 atau 5 pagi. Keluar dari biliknya dengan otak yang berat penat berfikir, mata yang juga berat mengantuk dan hidung pula sesak menghidu asap tembakau bercengkih. Saya kira dalam batch kami, hanya saya dan Faris yang rajin dalam sessi memerah otak lewat malam tersebut.

Namun, perginya beliau meninggalkan legasi kami yang pernah rapat dengannya. Kini dengan adanya platform 1B yang diusahakan melalui medium Facebook, kami dapat saling berhubung dan berkongsi idea. Ternyata ada keserasian minda di antara kami dalam bicara maya itu..

29 Julai pula, seorang rakan lama ketika belajar di MRSM pula kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalanraya. Nana, nama panggilan ringkasnya, saya temui semula di platform Alumni kami, juga melalui medium Facebook.

Di MRSM, kami sekadar saling mengenali begitu sahaja. Tetapi setelah melanjutkan pengajian di peringkat Matrikulasi di utara tanah air, bekas-bekas pelajar dari MRSM yang sama menjadi lebih akrab. Beliau bersama empat rakan karibnya menamakan kumpulan mereka menerusi gabungan huruf awalan nama mereka.

Antara pos beliau yang terakhir di Facebook adalah gambar pertemuan semula dua di antara ahli kumpulan tersebut. Sempat juga saya mengusik mereka dengan nama kumpulan tersebut. Nyata mereka geli hati dek ingatan saya terhadap nama itu. Itulah 'perbualan' ringkas kami di paparan 'wall' Facebook beliau 2 hari sebelum kejadian kemalangan yang meragut nyawanya itu..

Al-Fatihah untuk mereka bertiga. Semoga digolongkan dalam kalangan mereka yang dirahmatiNya...