Sunday, June 5, 2016

Bernostalgia di AMPANG PARK

Saya ke Ampang Park baru-baru ini. Dahulu ketika berkerja di Kuala Lumpur, pejabat saya memang tidak jauh dari bangunan ini. Malah pada hari-hari saya bermesyuarat di pejabat klien di Empire Tower, saya hanya berjalan kaki sahaja melewati Ampang Park untuk ke Empire Tower. Juga kadang-kala, saya singgah minum di kedai makan di tingkat bawah Ampang Park ini selepas bermesyuarat terutamanya pada hari-hari yang mensyuaratnya panas!

Saya baru sahaja bekerja ketika itu. Mesyuarat bersama klien memang ketika itu sesuatu yang sentiasa mendebarkan bagi saya. Jadi, berjalan kaki melewati Ampang Park untuk ke mesyuarat ketika itu bukanlah sesuatu yang seronok buat saya. Sambil berjalan, kepala berserabut menyediakan segala jawapan untuk ditanya dalam mesyuarat. Baliknya pula, melewati Ampang Park lagi.. sambil otak cuba untuk menghadam apa yang dibincangkan dalam mesyuarat tadi.. Pendek kata, Ampang park adalah sebahagian dari debaran saya di waktu awal-awal berkerja itu.

Jadi, hari ini apabila berada di Ampang Park lagi, saya masih dapat rasai deja-vu itu. Ampang Park hari ini walaupun masih meriah dengan pengunjung, tetapi bangunan ini nampak kusam. Apatah lagi dikelilingi bangunan-bangunan baru yang hebat-hebat bentuknya.

Saya terpandang pelekat yang banyak ditampal di sana sini.. SAVE AMPANG PARK. Mungkin ada ura-ura kuat meruntuhkan bangunan ini. Ya, dari faktor ekonomi pemilik tanah, tentunya pulangan Ampang Park sangat terhad. Bangunan lama 3 tingkat di kawasan yang sangat Prime, bukan sesuatu yang bagus dari segi pulangan ekonominya. Ampang Park hari ini menjadi tumpuan peniaga-peniaga kiosk tengah bermusim yang sangat menarik para pengunjung terutamanya kaum wanita. Jualan pakaian yang pelbagai di sini sangat rancak dari pagi hingga ke malam. Malah artis lama yang sudah kurang aktif juga berniaga di sini. Tentunya peniaga-peniaga ini tidak mahu Ampang Park dirobohkan.

Dari segi utiliti bangunan, Ampang Park masih berfungsi dengan baik. Walaupun kurang kebergantungan kepada sistem pengudaraan mekanikal di ruang-ruang publik, Ampang Park masih boleh dianggap selesa. Laluan kecemasannya jelas dan boleh diagak kedudukannya. Dengan adanya ruang atria panjang di tengah bangunan, ia membantu sistem pengudaraan bangunan. Malah jika berlaku kecemasan kebakaran, ruang ini dijangka dapat membantu mengeluarkan asap yang bergerak ke atas dari terkumpul di dalam bangunan. Walaupun rekabentuk atria ini tidak dominan, saya beranggapan ianya berfungsi dengan baik.

Tingkat atas Ampang Park lesu. Mungkin tiada daya penarik dari segi kedai-kedai yang bagus menyebabkan orang yang naik ke atas biasanya dari kalangan yang maklum arah tujunya sahaja.

Dikhabarkan sebagai Pusat Membeli Belah pertama di Kuala Lumpur (1973), mungkin ia tidak mampu bertahan juga akhirnya. Tuntutan ekonomi memang biasanya mengatasi faktor lain.. jika takdirnya Ampang Park ini tiada lagi, sekurang-kurangnya ianya kekal sebagai sebahagian dari nostalgia saya sebagai seorang arkitek mentah ketika itu..