Tuesday, June 26, 2012

"Aku terima nikahnya...."

Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, saya sibuk ke sana ke mari menghadiri jemputan perkahwinan. Sebahagiannya ialah dari kalangan bekas pelajar-pelajar saya yang masih ingatkan saya dan sudi mengundang saya untuk meraikan hari bahagia mereka..

Dalam beberapa bulan itu juga, maka menerusi rangkaian sosial Facebook mereka akan mengubah status masing-masing. Ada juga yang memuat naik gambar-gambar majlis perkahwinan itu yang meriah. Secara dasarnya, saya tumpang gembira.. Apatah lagi mengingatkan betapa naifnya mereka di dalam kuliah saya dahulu, dan kini bergelar pegawai, jurutera, suami dan isteri orang.. Selalu saya doakan plajar-pelajar saya akan terus jaya dunia dan akhirat.

Rentetan ini mengingatkan saya pada hari pernikahan saya sendiri bersama Anizah hampir 14 tahun yang lalu.. Lewat petang itu setelah majlis berakhir, saya duduk bersama seorang dari biras saya (suami kepada kakak isteri saya..). Dalam suasana santai di anjung rumah kampung mertua kami, dia menasihatkan saya tentang perjalanan dunia suami isteri..

"Hari ini antara hari paling gembira untuk kau. Aku pun dulu sama juga.." saya masih ingat kata-kata dia. "Setahun dua ini memang paling manis.. Tapi nak kekalkan kemanisan itu selepas 10 tahun dah mula mencabar.. 15 tahun.. 20 tahun.. dan seterusnya akan sentiasa ada cabarannya.." Saya hanya senyum mendengar kata-katanya.

Hari ini, perkahwinan saya sudah hampir 14 tahun. Saya akui kata-kata biras saya itu memang banyak kebenarannya. Memang ada pahit maungnya yang dilalui tetapi bagaimana kita sama-sama laluinya memang menjadi pengalaman yang amat berguna. 14 tahun belum cukup lama sebenarnya. Dalam pada saya mengharungi masa-masa itu bersama isteri saya, selalu saya cuba bayangkan bentuk hubungan dan komunikasi saya bersamanya, 10 tahun, 20 tahun akan datang... Itu pun jika kami sama-sama dipanjangkan umur.. InsyaAllah.

Secara peribadi saya selalu kagum melihat pasangan yang telah berumur tetapi masih mesra bersama. Ada yang memberitahu saya, kalau dibuatkan graf perihal kemesraan mereka, ianya menurun dalam lingkungan umur masing-masing meniti lewat 30an hingga 40 an. Ketika itu, tumpuan akan lebih kepada anak-anak dan pengembangan kerjaya. Kemudian, setelah semua anak-anak membesar dan tidak lagi tinggal bersama atau telah ke sekolah berasrama, kerjaya pula semakin menuju tahap tepu, mulalah mereka kembali memiliki masa tumpuan yang lebih tinggi untuk pasangan masing-masing.

Lalu dapat saya simpulkan bahawa lingkungan umur akhir 30 an hingga 40 an itulah cabarannya. Bayangkan jika dalam tempoh itu, tatkala masing-masing sibuk tadi, berlaku perkara yang betul-betul mencabar hubungan itu... Umpamanya kehadiran orang ketiga yang tidak direstui pasangan (yang direstui itu lain lah... mungkin tidak ada masalah sangat), atau umpamanya juga pasangan memberikan fokus berlebihan kepada kerjaya dan mengabaikan pasangannya.. Semuanya ini mungkin mengguris perasaan pasangan yang mungkin sukar untuk mereka menaikkan graf kemesraan tadi walaupun anak-anak telah tidak tinggal bersama dan kerjaya menuju tahap tepu...


Allah mengingatkan kita.. adakah kamu rasakan kamu telah benar-benar beriman sedangkan kamu belum diuji lagi. Memahami ayat itu, hati saya sebenarnya sangat takut dan waspada.. Dalam masa yang sama, saya berdoa agar saya dan isteri saya dapat sama-sama harungi cabaran itu. Saya mahu kami terus mesra meniti hari-hari tua kami nanti, hanya dengan izin Mu ya Allah.