Sunday, November 13, 2011

Kebenarannya Di Luar Sana...


Dalam tempoh beberapa minggu yang lalu, empat orang bekas pelajar berkesempatan datang menemui saya usai majlis konvokesyen mereka. Masing-masing sudah berkerja; 3 orang di Lembah Kelang dan seorang di Batu Pahat.

Setelah sekian lama menguliti kehidupan kampus, mereka akhirnya keluar menempuhi kehidupan sebenar di luar sana. Inilah dunia 'sebenar' untuk ditempuhi. Banyak perkara yang dahulunya serba indah di alam kampus mungkin tiada lagi.

Keakraban rakan-rakan yang pernah tidur sebantal akan mulai longgar lantaran kesibukan kerja masing-masing. Ramai juga mula terpisah jauh berdasarkan lokasi tugas.

Mereka juga kini bertanggungjawab penuh terhadap diri masing-masing. Jika silap langkah dan percaturan di luar, maka tiada orang lain yang boleh dipersalahkan melainkan diri sendiri.

Ini sebahagian keluhan mereka yang saya lihat sebagai sebahagian dari proses kematangan diri. Tidak lama lagi masing-masing akan berkahwin pula.. Nah, semakin besar tanggungjawab yang akan dipikul.

Saya juga pernah melalui proses ini. Nasihat saya berdasarkan pengalaman itu ialah perlunya untuk kita memahami perihal dunia luar itu. Ibaratnya jika kita ingin menari, perlu kita ketahui persekitaran di mana tarian kita itu akan dimainkan. Di atas lantai yang bagaimana? Malah iramanya juga bagaimana? Lalu barulah kita boleh siapkan sepatunya dan rancang liuk lenggoknya tarian itu.

Pada hemat saya, saya lambat menyesuaikan diri ketika baru menjengah dunia luar dahulu. Maka, banyak peluang yang terlepas begitu sahaja dek kerana tiada sumber rujukan dan nasihat.

Bagi para pelajar yang akan menempuhi dunia luar ini, belajarlah mengenali dunia itu seawal sebelum anda keluar lagi. Anda perlu tahu situasi ekonomi semasa, baik di dalam negara mahupun di luar negara terutamanya dari kalangan negara yang berpengaruh besar terhadap ekonomi negara kita seperti Amerika Syarikat, China, United Kingdom dan tetangga kita. Bagi golongan di dalam bidang pembinaan, ekonomi semasa amat berkait rapat dalam menentukan kerancakan daya niaga bidang ini.

Selain itu sistem politik semasa juga perlu diberi perhatian. Kerana inilah saya secara peribadi gembira mendengar perkhabaran tidak sahnya AUKU mengekang pelajar-pelajar dari terlibat secara langsung dalam politik baru-baru ini. Kononnya alasan yang sekian lama diberikan adalah kekhuatiran penglibatan itu akan menjejaskan akademik mereka. Persoalannya apakah maksudnya akademik itu tatkala hari ini ianya dicanangkan mencakupi hal-hal kemahiran insaniah para pelajar.

Di dalam politik adanya penentuan dasar, di dalam politik adanya pengurusan dan di dalam politik juga adanya kemahiran berhujah. Lalu harapan saya, biarlah pindaan AUKU yang akan dilakukan nanti memberi sedikit ruang untuk pelajar terlibat sama. Bukankah politik itu masa hadapan mereka juga? Dengan itu, biarlah mereka bertanggungjawab sama... Percayalah, mereka sudah cukup matang untuk mengurus penglibatan mereka..

Selain itu, penting juga untuk memahami rentak bidang yang mereka ceburi ini. Dalam bidang pembinaan, adalah amat perlu untuk mengetahui siapakah pemain-pemain utamanya. Hari ini ia melibatkan Arkitek, Jurutera awam dan struktur, Jurutera mekanikal dan elektrikal, Kontraktor, Pemaju dan lain-lain.. Apakah peranan mereka ini dan bagaimana mereka mencari makan di dalam bidang ini juga perlu difahami. Kerana para pelajar yang akan keluar ini juga berkemungkinan besar bergantung kepada sistem yang sama untuk mencari makan di dalam bidang ini..

Dan tentunya yang paling penting adalah memahami mengapa mereka ditakdirkan di situ. Kefahaman yang jelas akan membawa maksud yang paling penting dalam hidup ini. Kerana setiap langkah kita akan membawa pengertiannya di akhirat nanti. Dengan itu, jaga diri, pelihara diri, rancang sebaiknya dan di atasnya titipkan doa kepada yang Esa untuk kebaikan dunia dan akhirat.. InsyaAllah mereka ini dapat mengharungi kebenaran dunia luar itu dengan berani..