Tuesday, June 18, 2013

Ramalan dunia niaga

Beberapa ramalan tentang dunia mengatakan bahawa sistem demokrasi yang didukung oleh banyak negara di dunia ini akan runtuh suatu hari nanti. Oh, bagi pendukungnya tentu mereka tidak setuju. Memang jika dinilai pada tahap yang paling ideal, demokrasi itulah yang paling adil. Ianya pilihan ramai.. pilihan majoriti..

Soalnya, apakah majoriti itu sentiasa benar?

Saya tinggalkan soalan itu dalam aspek penilaian politik jika perenggan pertama itu anda baca dalam konteks politik.

Tetapi yang saya ingin utarakan di sini ialah ianya dalam konteks niaga. Apa kaitannya demokrasi dan perniagaan? Demokrasi sentiasa dilihat sebagai jalan tengah yang menjadi pilihan ramai. Arus mainstream katanya.. Dalam dunia niaga memang sentiasa ada ramai pemain di dalam arus ini. Mereka berniaga secara sederhana, jika tidak secara kecil-kecilan untuk saraan hidup.

Tetapi jika dinilai arah tuju dunia niaga hari ini, seakan ada daya yang sedang membunuh kelompok ini. Ada rakan saya menggelarnya sistem buli. Yang besar dalam dunia niaga akan melanggar sesuka hatinya golongan ini yang menyebabkan akhirnya mereka tertekan jika tidak terkubur.

Lihat sahaja sekeliling kita. Harga hartanah di bandar-bandar sudah mula tidak masuk akal. Di mana golongan sederhana ini nak mencelah. Kini sudah ada khabar (mungkin juga dah dimulakan) perjanjian jual beli yang melangkaui 2 generasi. Gila lah.. Ertinya seseorang yang membeli hartanah itu dengan penuh yakin mempersetujui bahawa sampai mati pun dia tidak akan mampu menyelesaikan ansuran bayaran bulanan hartanah itu... dan sanggup pula menamakan warisnya sebagai penyambung membuat bayaran itu (walaupun untung nasib waris itupun belum diketahui..)

Jurang pemisah ini akan semakin lebar. Antara yang kaya dan yang miskin. Barangkali benar ramalan itu. Ini bukan ramalan tilik nasib kosong. Tetapi ianya berasaskan penilaian corak hari ini.

Soalnya di mana kita nanti? Mahu mengikut sahaja corak itu atau menentangnya. Jika material sasaran kita, tentunya kita terikut sama. Tetapi jika kita ada keyakinan mencorakkan aliran (stream) yang baru, ayuh kita gerakkan.

Kebutuhan duit seharusnya bukan sasaran kita berniaga bukan?...