Sunday, November 13, 2011

Kebenarannya Di Luar Sana...


Dalam tempoh beberapa minggu yang lalu, empat orang bekas pelajar berkesempatan datang menemui saya usai majlis konvokesyen mereka. Masing-masing sudah berkerja; 3 orang di Lembah Kelang dan seorang di Batu Pahat.

Setelah sekian lama menguliti kehidupan kampus, mereka akhirnya keluar menempuhi kehidupan sebenar di luar sana. Inilah dunia 'sebenar' untuk ditempuhi. Banyak perkara yang dahulunya serba indah di alam kampus mungkin tiada lagi.

Keakraban rakan-rakan yang pernah tidur sebantal akan mulai longgar lantaran kesibukan kerja masing-masing. Ramai juga mula terpisah jauh berdasarkan lokasi tugas.

Mereka juga kini bertanggungjawab penuh terhadap diri masing-masing. Jika silap langkah dan percaturan di luar, maka tiada orang lain yang boleh dipersalahkan melainkan diri sendiri.

Ini sebahagian keluhan mereka yang saya lihat sebagai sebahagian dari proses kematangan diri. Tidak lama lagi masing-masing akan berkahwin pula.. Nah, semakin besar tanggungjawab yang akan dipikul.

Saya juga pernah melalui proses ini. Nasihat saya berdasarkan pengalaman itu ialah perlunya untuk kita memahami perihal dunia luar itu. Ibaratnya jika kita ingin menari, perlu kita ketahui persekitaran di mana tarian kita itu akan dimainkan. Di atas lantai yang bagaimana? Malah iramanya juga bagaimana? Lalu barulah kita boleh siapkan sepatunya dan rancang liuk lenggoknya tarian itu.

Pada hemat saya, saya lambat menyesuaikan diri ketika baru menjengah dunia luar dahulu. Maka, banyak peluang yang terlepas begitu sahaja dek kerana tiada sumber rujukan dan nasihat.

Bagi para pelajar yang akan menempuhi dunia luar ini, belajarlah mengenali dunia itu seawal sebelum anda keluar lagi. Anda perlu tahu situasi ekonomi semasa, baik di dalam negara mahupun di luar negara terutamanya dari kalangan negara yang berpengaruh besar terhadap ekonomi negara kita seperti Amerika Syarikat, China, United Kingdom dan tetangga kita. Bagi golongan di dalam bidang pembinaan, ekonomi semasa amat berkait rapat dalam menentukan kerancakan daya niaga bidang ini.

Selain itu sistem politik semasa juga perlu diberi perhatian. Kerana inilah saya secara peribadi gembira mendengar perkhabaran tidak sahnya AUKU mengekang pelajar-pelajar dari terlibat secara langsung dalam politik baru-baru ini. Kononnya alasan yang sekian lama diberikan adalah kekhuatiran penglibatan itu akan menjejaskan akademik mereka. Persoalannya apakah maksudnya akademik itu tatkala hari ini ianya dicanangkan mencakupi hal-hal kemahiran insaniah para pelajar.

Di dalam politik adanya penentuan dasar, di dalam politik adanya pengurusan dan di dalam politik juga adanya kemahiran berhujah. Lalu harapan saya, biarlah pindaan AUKU yang akan dilakukan nanti memberi sedikit ruang untuk pelajar terlibat sama. Bukankah politik itu masa hadapan mereka juga? Dengan itu, biarlah mereka bertanggungjawab sama... Percayalah, mereka sudah cukup matang untuk mengurus penglibatan mereka..

Selain itu, penting juga untuk memahami rentak bidang yang mereka ceburi ini. Dalam bidang pembinaan, adalah amat perlu untuk mengetahui siapakah pemain-pemain utamanya. Hari ini ia melibatkan Arkitek, Jurutera awam dan struktur, Jurutera mekanikal dan elektrikal, Kontraktor, Pemaju dan lain-lain.. Apakah peranan mereka ini dan bagaimana mereka mencari makan di dalam bidang ini juga perlu difahami. Kerana para pelajar yang akan keluar ini juga berkemungkinan besar bergantung kepada sistem yang sama untuk mencari makan di dalam bidang ini..

Dan tentunya yang paling penting adalah memahami mengapa mereka ditakdirkan di situ. Kefahaman yang jelas akan membawa maksud yang paling penting dalam hidup ini. Kerana setiap langkah kita akan membawa pengertiannya di akhirat nanti. Dengan itu, jaga diri, pelihara diri, rancang sebaiknya dan di atasnya titipkan doa kepada yang Esa untuk kebaikan dunia dan akhirat.. InsyaAllah mereka ini dapat mengharungi kebenaran dunia luar itu dengan berani..

Friday, September 30, 2011

Stack Effect House 3: Ada Apa Dengan Kesan Stack?



Apabila cuaca sejuk di luar dan udara pula panas di dalam, kepanasan itu menolak udara di dalam bangunan ke atas, mencari rongga keluar dan digantikan dengan udara sejuk yang masuk dari bawah.

Apabila cuaca panas di luar, udara sejuk di dalam bangunan akan turun ke bawah mencari rongga keluar dan digantikan dengan udara yang masuk dari rongga atas.

Lalu udara segar silih berganti di dalam ruang bangunan menyahkan udara cemar, bau hapak, dan mungkin juga udara-udara beracun dan bertoksik.

Bunyinya cukup ideal. Dalam keadaan udara di kawasan pembangunan padat yang hampir tidak bergerak serta panas pula itu, kesan stack sangat diharapkan untuk membantu pergerakan udara hasil dari perbezaan tekanan.

Tetapi realitinya udara yang digerakkan masuk dari luar ini juga tinggi suhunya, terutama di waktu tengah hari dan awal petang. Lalu apa kaedah yang boleh kita lakukan agar udara yang masuk ini dapat menyejuk secara alami sebelum masuk ke dalam bangunan.

Ini cubaan Green School of Bali, Indonesia..

Lihat sahaja penggunaan materialnya serta rekabentuknya untuk tujuan tadi...

Bumbung tinggi, buluh sebagai material dominan, bumbung illalang, dinding terbuka,.....



Tuesday, September 27, 2011

INSEP2011






Kalau biasanya kapasiti peserta program ini dalam lingkungan 15 hingga 20 orang, kali ini cuma 8 orang. Hanya seorang lelaki dan bakinya tujuh wanita. Seakan-akan kisah Snow White dan 7 dwarfs pula. Inilah kumpulan Diploma Eksekutif Pengurusan Projek Landskap di bawah penyelarasan saya yang terkini.

Belum pun sempat bermula kerja lapangannya, seorang wanita menarik diri dengan alasan telah mendapat kerja. Sang teruna tunggal itu secara langsungnya menjadi ketua untuk kumpulan ini, walaupun dia sebenarnya yang paling muda.

Mereka bersemangat untuk menjayakan program ini, cuma kekangan kudrat sangat-sangat saya rasai. Banyak juga perancangan awal, terpaksa saya kesampingkan akibat kekangan ini.

Tetapi di sebalik kekangan itu, dua tapak landskap berjaya dijayakan dalam skala kecil. Sebuah kolam dan persekitarannya di sebuah homestay yang membiayai pembinaannya sendiri dapat disiapkan walaupun tanpa kemasan terakhir. Juga dapat disiapkan ialah sebuah laman sekolah agama dengan pergola yang dibiayai sepenuhnya di bawah tajaan kos projek ini.

Tapak yang dibangunkan di sekolah betul-betul bersebelahan dengan sebuah surau. Tatkala hari pertama membersihkan tapak, sapaan sinis mereka yang sama-sama selesai solat di situ hanya saya balas dengan senyuman. Biasalah, bila melihat yang bekerja di tapak ini rata-ratanya anak gadis, entah yakin entah tidak apa yang hendak dibuat itu.

Alhamdulillah di penghujung program, hasilnya kini mampu mengundang tahniah dari mereka yang pernah sinis dahulu. Malah seorang darinya sudah mula berkempen kepada saya untuk tapak surau berhampiran bagi program tahun hadapan. Abun pembantu teknikal saya hanya senyum dari jauh. "Dah macam bersama mu pula kita ni.." komennya selepas itu..

Iyalah, pembangunan landskap percuma sebegini, sesiapa pun tentunya mahu.... Tapi biarlah berpada-pada ketika meminta. Terutamanya kebajikan peserta program dan pembantu-pembantu teknikal saya setidak-tidaknya dapat perhatian mereka. Walaupun di atas tiket belajar, mereka juga ada perasaan...

Selain itu, kemampuan mereka menyelenggara apa yang dibangunkan dan ditinggalkan oleh peserta juga sangat penting.. Dalam tidak sedar, sudah enam tahun saya menjalankan program ini. Ertinya telah enam tapak menerima pembangunan percuma ini. Juga ada enam pengajaran kepada saya untuk kini saya tahu siapa yang berkemampuan menggunakannya dengan baik dan siapa pula yang akhirnya akan membiarkan sahaja pembangunan ruang ini terbiar tanpa diselenggara dan diguna...









Tuesday, September 13, 2011

Stack Effect House 2: Kerja Awalan




Alhamdulillah, kerja awalan pembinaan rumah ini sudahpun dimulakan. Dek kerana arasnya berselisih dalam kebanyakan ruang akibat aras tanah asal yang tidak mahu dipotong, maka saya terpaksa berbincang banyak kali bersama Ayub si pembina (Ayub the builder).

Rumah ini direkabentuk tanpa cerucuk. Tanah bukit yang padu diyakini mampu menampung bangunan ini. Itulah jaminan rakan jurutera struktur yang merekabentuk strukturnya. Lalu penapaknya direkabentuk dan dibina besar-besar.


Ruang tengah bangunan rumah ini yang merupakan ruang makan direkabentuk dengan ruang lompong di atasnya tanpa tingkat atas (void). Ertinya, jika kita berdiri di situ dan mendongak ke atas, pandangan mata akan sampai ke siling bumbung tingkat atas.


Di sinilah saya akan cuba memaksimumkan kesan stack (stack effect). Ianya merupakan kesan pergerakan angin secara alami akibat perbezaan tekanan udara luar dan dalam bangunan. Ia juga tidak perlu bergantung kepada tiupan angin merentasi bangunan ini. Maka, sekiranya berjaya, sistem pengudaraan di dalam bangunan ini mampu bergerak sendiri walaupun tanpa bantuan kipas angin dan tiupan angin dari luar.


Secara sains, pergerakan udara ini amat bergantung kepada sejauh mana bangunan ini mampu menyejukkan suhu dalamannya berbeza dari suhu luarannya. Tanpa bantuan alat pendingin, rekabentuk dinding dan bumbung sangat berperanan selain dari pemilihan bahan binaannya. Ini cabaran pertamanya.


Selain itu udara yang bakal masuk melalui kesan stack juga harus dipastikan tersejuk secara alami sebelum masuk ke ruang tengah bangunan ini. Elemen penyejukan bahan secara sentuhan dan perolakan akan dipertaruhkan untuk tujuan ini. Ini cabaran keduanya.


Rekabentuk bukaannya untuk membawa masuk udara juga perlu diberi perhatian. Sisir angin harus tepat sudutnya selain direkabentuk untuk membentuk 'gelora' angin kecil (turbulent) yang dijangkakan mampu berperanan menyejukkan udara yang melaluinya. Bahkan ia juga harus mampu memecut udara pantas melaluinya untuk mendatangkan tekanan udara yang diperlukan untuk menolak udara sejuk di dalam rumah ke bawah. Ini cabaran ketiganya.


Apa mampu ini semua dilakukan dengan jaya? Kita cuba rancangkan ye...

Friday, August 5, 2011

Mereka Yang Pergi Julai lalu..

Julai 2011, saya kehilangan tiga orang...

Akhirnya pada 3 Julai 2011, saya tidak lagi mempunyai ninda.. Perginya Hjh Azizah Mahmood mengadap Ilahi menandakan generasi tua dalam keluarga saya kini adalah emak dan abah.

Fenomena perginya setiap generasi ini pernah mengganggu fikiran saya ketika kecil dahulu. Saya sangat terganggu memikirkan bagaimana kelak giliran yang akan pergi itu akan tiba kepada generasi emak dan abah. Ketika itu, saya seakan-akan tidak boleh menerima keadaan itu, lalu cuba untuk tidak memikirkannya. Kini nampaknya apa yang saya risaukan dahulu telah pun tiba, cuma dalam pada umur sendiri telah hampir ke 40, saya kira saya boleh menerima hakikat itu kini. Apatah lagi hari ini, giliran pergi juga kerap kali melangkaui generasi...

Hjh. Azizah atau "Atuk Pon" mengikut panggilan cucu-cucunya, kembali ke rahmatullah setelah hampir 2 bulan terlantar akibat serangan strok. Beliau pendiam, lebih banyak tersenyum dari berkata-kata dan sangat-sangat tidak keras hati. Lantaran itu beliau mudah mengikut keluarga ibu saudara bungsu saya tinggal di Pulau Pinang apabila disarankan ahli keluarga kerana kasihankannya bersendirian sejak Pak Cik Ghafar berpindah ke rumahnya sendiri.

Lalu ketika saya belajar di Pulau Pinang, kerap juga saya ke rumah Mak Su Ros bertemu Atuk Pon. Anak-anak Mak Su Ros masih sangat kecil ketika itu dan mereka membesar dalam keluarga mereka dengan kehadiran Atuk Pon. Maka tidak hairanlah Fakhruddin, Afiq dan Safuan sangat rapat dengan Atuk Pon. Mereka jelas sangat terkesan pada hari pengebumian Atuk Pon..

21 Julai pula saya dikejutkan dengan SMS rakan lama, Dr. Faris, yang memaklumkan En. Wan Burhanuddin, seorang pensyarah kami ketika dalam pengajian senibina telah kembali ke rahmatullah pada usianya 59 tahun. En. Wan merupakan antara pensyarah yang rapat dengan saya.

Di mata saya, beliau memang hebat dalam dunianya yang unik. Tambah hebat apabila beliau mampu mengingati banyak ayat-ayat Al Quran dan mengaitkannya dalam perbualan harian hatta perbualan itu sedang berlangsung santai sesantainya..

Ironinya beliau bukanlah seorang Ustaz apatah lagi Tahfiz. Malah penampilannya lebih mirip gaya orang-orang seni dan sedikit hippies. Beliau selesa dengan topi ala-ala Khalid Salleh dan vest berpoket banyak yang tidak pernah lekang. Poket-poket itulah tempatnya menyimpan pensel, pen dan kertas kecil yang memudahkannya melakar di mana-mana.

Gudang Garam pula menjadi 'kunyahan' tanpa putus yang menyebabkan pelajar-pelajar perempuan tidak mampu bertahan lama menghadap beliau kerana terpaksa menghidu asap tembakau bercengkih itu.

Kuliahnya sentiasa mencabar otak. Projeknya sangat-sangat memerah idea dan janganlah harapkan markah yang tinggi kalau sekadar rekabentuk biasa-biasa sahaja yang dibentangkan. Mana architecture-nya? merupakan soalan kritikan utama beliau... dan kami bisa terkedu untuk menjawabnya.

Sebaliknya jika berjaya mencungkil idea yang baik dari kami pelajar-pelajarnya, beliau akan ketawa panjang dan kami tahu itulah mood terbaik darinya.

Dalam entri beberapa bulan yang lalu juga saya ada menyentuh tentang En. Wan dan projek Beachfest 93 nya. Itu antara projek unik beliau bersama kami yang masih segar dalam ingatan..

Setiap malam dari jam 10 atau 11 beliau akan berada di bilik pejabatnya yang sangat hampir dengan studio kami. Tidak ramai yang sanggup berbual bersamanya dalam sessi malam di biliknya kerana perbualannya akan jauh lebih berat lagi. Tamatnya pula tentunya sekitar jam 4 atau 5 pagi. Keluar dari biliknya dengan otak yang berat penat berfikir, mata yang juga berat mengantuk dan hidung pula sesak menghidu asap tembakau bercengkih. Saya kira dalam batch kami, hanya saya dan Faris yang rajin dalam sessi memerah otak lewat malam tersebut.

Namun, perginya beliau meninggalkan legasi kami yang pernah rapat dengannya. Kini dengan adanya platform 1B yang diusahakan melalui medium Facebook, kami dapat saling berhubung dan berkongsi idea. Ternyata ada keserasian minda di antara kami dalam bicara maya itu..

29 Julai pula, seorang rakan lama ketika belajar di MRSM pula kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalanraya. Nana, nama panggilan ringkasnya, saya temui semula di platform Alumni kami, juga melalui medium Facebook.

Di MRSM, kami sekadar saling mengenali begitu sahaja. Tetapi setelah melanjutkan pengajian di peringkat Matrikulasi di utara tanah air, bekas-bekas pelajar dari MRSM yang sama menjadi lebih akrab. Beliau bersama empat rakan karibnya menamakan kumpulan mereka menerusi gabungan huruf awalan nama mereka.

Antara pos beliau yang terakhir di Facebook adalah gambar pertemuan semula dua di antara ahli kumpulan tersebut. Sempat juga saya mengusik mereka dengan nama kumpulan tersebut. Nyata mereka geli hati dek ingatan saya terhadap nama itu. Itulah 'perbualan' ringkas kami di paparan 'wall' Facebook beliau 2 hari sebelum kejadian kemalangan yang meragut nyawanya itu..

Al-Fatihah untuk mereka bertiga. Semoga digolongkan dalam kalangan mereka yang dirahmatiNya...

Monday, June 6, 2011

Lakonan yang sangat-sangat tidak asli..

Ketika berjalan-jalan di sebuah pasaraya di JB bersama anak-anak, saya disapa seorang gadis.. (berdasarkan kemudaannya, saya yakin dia seorang gadis..)

Oh, bukan untuk mengurat saya.. kerana saya tidak berhidung comel. Tetapi dia ingin memberikan pelekat kereta yang percuma katanya.. Tetapi saya perlu memberikan butiran diri saya di dalam borang di kedainya yang berhampiran.

Memandangkan isteri saya masih sibuk membeli di sebuah kedai lain, lalu saya layankan juga si gadis ini. Saya ikut dia ke kedai itu sebelum dipersilakan duduk dan diberi sehelai borang. Ketiga-tiga anak saya mengikut sama..

Saya mencoret ala kadar nama ringkas, alamat ringkas tanpa memberikan nombor telefon. Sambil itu dia mula bertanyakan hal diri saya.. -berapa orang anak? -anak berapa tahun? dan beberapa soalan klise yang saya yakin dia bukannya mahu tahu sangat pun..

Sambil itu beliau menyuakan suatu borang lain yang perlu dikoyakkan untuk ditulis butiran saya lagi.. Melihat saya bersahaja, lalu dia mengoyakkan borang tersebut dan membukanya untuk saya menulis.

Awal-awal lagi saya telah melihat tulisan Tahniah!! di borang tersebut tetapi saya diamkan sahaja sambil menulis butiran ala kadar saya lagi..

Tiba-tiba dia cuba menjerit seakan-akan terkejut sambil memanggil seorang rakannya..
Katanya saya bertuah kerana memenangi beberapa barangan elektrik..
Ini taktik yang saya pernah dicuba ke atas saya 10 tahun lepas.. dan saya permainkan si penipu itu begitu sahaja... dan hari ini seorang lagi mencubanya ke atas saya..?

Sudahlah jeritan lakonan itu sangat-sangat tidak meyakinkan, kegembiraan buatannya itu juga langsung tidak asli.. Jeritan itu saya bagi 2/10 sahaja.. Dan kegembiraan buatannya itu mungkin 1/10 sahaja..

Seperti biasa, rakannya cuba menerangkan apa yang saya menangi kononnya.. Walaupun penjelasannya itu tidak masuk ke kepala saya langsung, saya masih dapat menangkap kata-katanya bahawa apa yang dimenangi itu dapat saya perolehi dengan sedikit bayaran..

Sampai bila lagi perkara ini akan berterusan.. Budaya menjual yang penuh muslihat..

Saat itu, saya mula rasa jelik dengan perlakuan mereka.. Kalau 10 tahun dahulu, saya menolak hadiah kemenangan itu dengan hormat, kali ini hanya dua pilihan yang terlintas di fikiran saya..

Pertama; saya turut sama berlakon melonjak kegembiraan atas kemenangan itu sambil menari-nari meraikannya. Oleh kerana saya di situ bersama anak-anak saya, maka saya akan turut mengajak mereka melonjak sama.. Dan oleh kerana kami bukanlah pelakon, malah tiada juga seiras pelakon.. (sudah saya katakan tadi, saya tidak punyai hidung yang comel..), maka tentunya mereka pula akan jatuh jelik dengan lakonan kami sehingga menghalau kami keluar dari kedai mereka..

Kedua; saya menawarkan kembali hadiah itu kepada penjual dan meminta wang bayaran menebus hadiah itu dari mereka pula.. Sambil saya pula menceritakan kelebihan hadiah itu untuk mereka miliki..

Dalam detik yang singkat itu, saya memilih langkah kedua..

Dan tentunya mereka juga tidak mahu memiliki hadiah yang bukan-bukan itu..

Maka akhirnya saya keluar dari kedai itu bersama anak-anak tanpa hadiah yang saya sendiri tidak mahukan itu..

Yang lucunya, apabila kami melalui hadapan kedai tersebut sekali lagi untuk ke eskalator, gadis yang sama cuba menyorok di sebalik tiang untuk mengelak terserempak dengan kami lagi..

Dalam perjalanan pulang, saya bercerita kepada isteri saya tentang pengalaman itu bersama kedua-dua pilihan langkah saya tadi.

Juga saya nyatakan betapa sebenarnya naluri nakal saya lebih suka dengan langkah pertama itu..

"Laa.. kenapa ayah tak buat macam tu..?" soal anak-anak saya di luar jangkaan saya..

Kerana menurut Irfan, si abang sulung, dia boleh bersama adik-adiknya menjerit berlakon bersama.. Lalu ditokok tambah Israq dan Irdina tentang mereka akan berguling-guling berlakon kegembiraan..

Rupa-rupanya lakonan jelik gadis itu turut dapat dikesan anak-anak ini.. Akhirnya sepanjang perjalanan pulang kami itu disulami cerita fantasi anak-anak saya bagaimana aksi mereka jika dapat berbuat begitu..

Nampaknya 1-2 /10 markah lakonan yang saya beri untuk gadis itu dan rakannya tadi pun tidak layak buat mereka........

Monday, May 16, 2011

Stack Effect House 1: Rekabentuk

Inilah rumah keluarga saya. Ia harus mencerminkan kami setelus-telusnya. Mesti ada titik dalam ruang yang saya gemari. Mesti juga selesa untuk Anizah duduk membaca, membuat kerja dari rumah dan menyediakan makanan kegemaran kami.. (Untuk anak-anak sahaja mungkin, sebab saya sendiri tidak tahu apa makanan kegemaran saya...). Mesti ada ruang solat khusus yang mampu membantu kyusuk dalam solat.

Hatta jika ada di antara anak-anak yang agak penakut, juga harus dipertimbangkan kedudukan biliknya agar dia selesa. Israq sudah menempah dinding grafitinya sendiri yang saya belum pastikan di mana. Irfan pula mahukan dinding profil pasukan bolasepak kegemarannya. Dan untuk Irdina juga saya sediakan ruang yang mampu menjaga auratnya walaupun ketika kehadiran rakan-rakan abang-abangnya di rumah kelak apabila mereka memasuki alam remaja.

Untuk abah dan emak serta ibu mertua mestilah ada ruang yang paling selesa untuk mereka di sini ketika kehadiran meraka. Malah juga telah dipertimbangkan laluan kerusi roda untuk arwah bapa mertua; namun panggilan Ilahi terlebih dahulu memanggilnya pulang tanpa sempat melihat rumah ini.

Saya juga mahukan ruang untuk kunjungan selesa rakan-rakan keluarga saya. Juga saya mahukan ruang yang selesa untuk pelajar-pelajar saya hadir dan mempelajari sesuatu di sini. Malah dalam proses rekabentuk ini juga, 2 pelajar saya, Hanafi dan Ain telah mula terlibat sama. Saya positif ada ilmu yang dapat dikongsi bersama di sini untuk ramai lagi..

Lalu saya akui merekabentuk rumah sendiri ini jauh perihnya berbanding merekabentuk kediaman orang lain. Namun ia menimbulkan keasyikkan buat saya. 'Passion' saya di sini.. Dari hari pertama saya menerima salinan geran tanah itu, saya telah memulakan lakaran untuk rumah ini. Banyak kali juga ia berubah di sana sini sebelum akhirnya dimajukan ke Pihak Berkuasa Tempatan serta diluluskan tanpa pembetulan. Kelulusan juga agak cepat, dek bantuan rakan-rakan di PBT itu juga mungkin..

Namun sehingga kini saya masih menelaah perincian-perinciannya sementara menunggu permulaan kerja tapak yang telah di atur bersama peguam saya dan rakan-rakan pembina dan tukang. Oh, tiada istilah kontraktor di sini kerana mereka tidak berkontrak bersama saya untuk tujuan pembinaan ini. Kami sama-sama akan membangunkannya atas dasar percaya akan kepakaran masing-masing setelah sekian lama menjayakan rumah-rumah dan bangunan orang lain. Lagipun eksplorasi saya masih berterusan dalam rekabentuk ini... Masakan kami boleh berkontrak dalam keadaan ini.

Hanya doa saya pohonkan padaNya, agar kediaman ini menjadi kediaman yang tulus untuk keluarga saya. Ia platform untuk siri hijrah kami dalam tahun-tahun yang mendatang.

Thursday, May 12, 2011

Go Woody..


................. berani.......?


















Tuesday, April 26, 2011

Draf Rekabentuk Bangunan.... (kacang aje..?)

Seperti biasa, pihak klien akan meminta draf rekabentuk untuk rekabentuk bangunan yang ingin dibina. Ia akan berlaku dalam pertemuan pertama setelah semua atau sebahagian besar keperluan bangunan itu dimaklumkan...

Tempoh penyediaan draf: .... Seminggu.. (itupun kalau kita bertuah). Adakalanya dua hari, dan yang paling perit keesokkan paginya. Macamlah kita akan memimpikan bangunannya itu sambil tangan mengigau melakar di sebelah katil..

Bunyi draf itu seakan-akan lakaran ringkas. Tetapi biasanya ia diharapkan dapat memberi gambaran hampir keseluruhan pendekatan rekabentuk itu.

Selain aspek keperluan pengguna, bagaimana bangunan itu mampu memberikan keselesaan termal kepada pengguna juga memang harus ada dalam lakaran draf itu..

Di situlah perancangan susunatur bangunan itu diperolehi. Susunatur yang baik setidak-tidaknya mampu memberi peneduhan di ruang yang perlu dan sebaliknya. Peranan landskap dan persekitaran bangunan amat memainkan peranan.

Ya, sudah tentu juga oreantasi bangunan perlu difikirkan di peringkat ini. Dari mana pancaran terik matahari pagi dan petang serta sedikit kefahaman tentang iklim mikro akan memberi impak besar terhadap oreantasi bangunan ini.

Tatkala merekabentuk, jangan lupa juga bahan apa yang ingin kita gunakan sebagai komponen bangunan itu. Dindingnya apa? Bumbungnya apa? dan sebagainya.. Selain ia memberi kesan kepada kos, fasad dan bentuk bangunan, ia juga memberi kesan kepada sejauh mana bangunan itu mampu menahan haba luar dari masuk ke dalam bangunan.

Bukaan bangunan juga perlu diberi perhatian. Ini merangkumi pintu, tingkap dan segala bukaan yang lain. Selain memberi pencahayaan, ia juga membenarkan pergerakkan angin yang dapat memberikan persekitaran dalaman bangunan yang baik.

Kini dalam pasaran pembinaan, terdapat juga berbagai-bagai bahan perincian lain yang boleh digunapakai dalam memberikan keselesaan termal yang baik untuk bangunan seperti gabus insulasi haba untuk bumbung dan siling, dinding gypsum berlapis untuk ruang dalam... dan malahan sudah terdapat juga cat-cat yang dikatakan membalikkan haba agar ianya tidak diserap masuk ke dalam bangunan secara maksimum..

Biasanya juga ini semua diharapkan untuk diceritakan dan dibentangkan di dalam draf rekabentuk itu tadi.......

Ini baru melibatkan soal termal bangunan, belum lagi keperluan kepenggunaanya, persekitarannya dan imej bangunan yang juga biasanya ingin didengar sama ketika draf rekabentuk itu dibentangkan..

Lalu, draf rekabentuk itu sebenarnya jauh lebih berat pengisiannya berbanding santainya sebutannya...

Sunday, April 24, 2011

Tercegat di sebelah set drum..


Jika tidak silap, ketika itu dalam tahun 1995.

Saya berdiri di atas pentas bersama guitar bass untuk persembahan makan malam di Universiti bersama band yang saya sendiri sudah tidak mampu mengingati namanya lagi..

Ketika itu juga saya sudah bertahun tidak bermain band lagi. Hanya kerana ajakan ahli band tersebut untuk menggantikan ahlinya yang sakit, saya di-bidan terjun kan..

Lagu pilihannya juga genre yang asing kepada jari jemari saya.. Dek kerana penyanyinya wanita, lalu kebanyakkannya adalah lagu popular wanita sekitar waktu itu.. Dan yang paling merungsingkan saya adalah 'All thats u want' (Ace of Bass).. Masakan tidak, petikan bassnya mendominasi keseluruhan rentak lagu itu..

Makan malam itu dilangsungkan di tempat terbuka. Apabila saya naik di atas pentas setelah dijemput pengacara majlis, kata-kata pengacara sudah saya tidak dengari lagi.

Walaupun ketika sound-check pada sebelah petang, bunyi yang diselaraskan dari alat pembesar suara dan amplifier kedengaran agak baik, lain pula jadinya pada malam itu..

Dalam cubaan awal beberapa minit sebelum lagu dimainkan, saya hanya mampu mendengar petikan guitar dari Nain sahaja bersama ketukan drum dari pemain drum yang juga saya sudah terlupa namanya.. Bunyi keyboard dari Fazila dan suara nyanian Yang Feruzz langsung sayup-sayup dari tempat saya berdiri. Malah dengungan bass saya juga hanya sayup di telinga saya sendiri.

Belum sempat saya menyesuaikan keadaan itu, Nain sudah menganggukkan kepala tanda boleh bermula, lantas pemain drum mengangkat pemukul drum dan dilagakan tiga kali sebagai kiraan permulaan lagu pertama.. 'Come Undone'...

Dalam detik itu saya membuat keputusan untuk berdiri hampir dengan kedudukan set drum dan menjadikan pukulan drum tersebut sebagai panduan petikan bass saya.. Harap-harap tempo dan beatnya tidak lari.. Dan saya memang hanya bergerak semaksima selangkah dua sahaja dari situ sepanjang 4 lagu persembahan kami yang rata-ratanya lagunya agak rancak..

Selesai persembahan, sambil berjalan turun dari pentas, ahli band saling mengucapkan tahniah.. (lantas menyedapkan sedikit hati saya..).

Dan apabila tiba di bawah, ketika saya bergerak ke arah meja rakan-rakan rapat yang duduk di suatu sudut, saya disambut komen rakan.....

"Apa bendalah kau.. main lagu rancak-rancak, orang lain layan goyang, kau tercegat je kat sebelah drum.."

Saya hanya mampu tersenyum.. lalu menjawab "itulah sebabnya aku tak boleh jadi artis.."

Tetapi sekurang-kurangnya saya tahu bahawa tercegatnya saya di situ mampu menyelamatkan persembahan band tersebut.. Itulah penangan persembahan dalam ruang terbuka..

Kini, setiap kali mengajar pelajar perihal rekabentuk akustik bangunan, pengalaman itu pasti datang mengusik.. Lalu impak bunyi bass yang gasar gelombangnya di ruang terbuka sering saya jadikan contoh..

Thursday, April 21, 2011

Calatrava

Santiago Calatrava shows how to architect.......................

Friday, April 15, 2011

Mekanikal dan Elektrikal



Sistem Mekanikal dan Elektrikal. Ianya hanyalah salah satu kursus (dahulunya disebut subjek) yang wajib dilulusi oleh para pelajar Kejuruteraan Awam ini bagi membolehkan mereka berijazah. Kod asasnya BFC3153..

Secara peribadi saya memang tidak bersetuju dengan nama itu. Bukan semua yang dipelajari di dalam kursus ini bergantung kepada sistem mekanikal dan elektrikal semata-mata. Dalam kita cuba melestarikan pembangunan, kita seboleh mungkin juga menggalakkan pengurangan kebergantungan terhadap sistem mekanikal dan elektrikal itu.

Kita menggalakkan ventilasi semulajadi, pencahayaan semulajadi, menggalakkan penggunaan dinding dan bumbung penebat haba dan sebagainya. Kelestarian pembangunan ini menjadi intipati hampir 50% kandungan kursus itu.. . Lalu, mana mungkin ianya dinamakan sedemikian.

Mungkin nama Keselesaan Bangunan lebih tepat, atau setidak-tidaknya Perkhidmatan Bangunan..

Malah beberapa pelajar turut keliru di awal semester pengajian. Apa kaitan pelajar awam terhadap Sistem Mekanikal dan Elektrikal.. Ya, mungkin tidak secara langsung.. kerana bidang M&E itu sememangnya wujud dalam proses pembinaan dan dirundingi oleh ahli professionalnya sendiri.. Maka itulah saya rasakan nama Keselesaan Bangunan lebih baik.

Mungkin kedengarannya agak tidak berimpak.. Ringkas dan santai sahaja.. dan juga mungkin tidak berbunyi ilmiah.. Itu komen yang dilontarkan terhadap cadangan awal penamaan kursus ini dahulu..

Minggu ini juga saya menamatkan sessi kuliah terakhirnya dengan kesimpulan ringkas setelah para pelajar menamatkan pembentangan projek. Seperti biasa, pelajar sebenarnya lebih ingin mendengar tentang soalan peperiksaan akhir dari celoteh saya tentang pentingnya ilmu ini dalam praktis mereka kelak. Tidak salah begitu.. Saya juga begitu ketika bergelar pelajar dahulu.

Saya tidak terlibat di dalam penyediaan soalan kali ini. Namun dari pengamatan saya terhadap soalan kali ini, ianya lebih mudah dan bersifat langsung (direct) berbanding tahun-tahun lepas. Formatnya masih seperti biasa, ada soalan objektif dan soalan pendek yang harus dijawab kesemuanya, serta ada soalan esei yang perlu dijawab tiga dari empat kesemuanya.

Seharusnya kecenderungan soalan sudah boleh diagak menerusi kaedah penyampaian kursus ini... Dengan para pensyarah yang terlibat di dalam kursus ini terdiri dari Zaki (ketua unit kelestarian kampus), Lokman (pakar pembangunan lestari), Emedya dan K.Zaman yang datang dari industri binaan, serta saya sendiri sebagai seorang praktis Arkitektur .. tentunya memberikan ilham kepada mereka yang 'membaca' persekitaran mereka dan berfikir akan ia..

Sedikit nasihat saya kepada pelajar, jangan melihat ilmu ini dalam struktur sebagaimana ianya disusun dalam kandungan kursus. Ini adalah kerana ianya saling berkait. Sebagai contoh sistem ventilasi adalah berkait dengan pengedaran udara yang baik dalam bangunan yang mampu memberikan kelembapan relatif yang baik. Ventilasi juga mampu membantu penyahan asap ketika berlaku kebakaran. Begitu juga dengan aspek lain yang dipelajari dan dikongsi menerusi kursus BFB3153 ini..

Usai kelas terakhir, dengan beberapa pelajar datang menemui mengucapkan terima kasih secara peribadi, serta ada yang menjabat tangan dan ada juga yang mencium tangan sebagai tanda perhormatan untuk gurunya... Salam penuh hormat jugalah saya hulurkan kembali kepada mereka berserta doa saya untuk masa depan kalian yang gemilang dan sentiasa diberkatiNya...

PROJEK EKSPERIMENTASI AKUSTIK, GETARAN DAN PENCAHAYAAN



Dalam tempoh tiga minggu berturut, akhirnya kesemua pelajar-pelajar BFB4073 ini menamatkan siri eksperimentasi mereka.

Saya sebenarnya mencuba kesinambungan jiwa eksperimentasi ini dari apa yang dilalui sendiri dalam tahun 1993. Ketika itu, kami pelajar-pelajar Senibina diberi tugasan studio eksperimentasi yang serupa, cuma skopnya dibenarkan tanpa sempadan.. Dan dengan kredit studio sebesar 6 kredit, projek ini dijalankan secara individu.

Lokasi eksperimen pula adalah dari Pantai Batu Feringgi hinggalah ke tengah laut. Malah kalau ada yang mampu hingga ke tanah Indonesia di seberang sana, silakan... itulah kata-kata Che Wan kami..

Keterujaan kami bermula dari penyerahan van Volkswagon milik Che Wan untuk digunakan membawa peralatan eksperimentasi ke lokasi. Lalu keseluruhan badan van menjadi mangsa eksperimentasi awalan kami..

Maka ber eksperimentasi lah kami di situ dengan pelbagai cubaan. Mardee mencuba peralatan untuk berjalan kaki di atas air. Hassan mencuba dinding persalinan yang boleh dilipat sekecil kertas A4. Dan tentunya Intan paling diingati dengan baju putihnya yang mengukur tahap pencemaran air laut itu..

....Rujuk ( http://www.hbp.usm.my/1b/students/93beachfest.htm )

Kali ini, dengan pertaruhan yang serupa (minda pelajar), saya membenarkan BFB4073 bereksperimentasi dalam lingkungan ilmu akustik, getaran dan pencahayaan.

Kekangan 3 kredit menghadkan saya dari membebankan pelajar secara keterlaluan. Maka eksperimentasi dilakukan secara berkumpulan di lokasi masing-masing terlebih dahulu sebelum dibentangkan.

Pencapahan cahaya menerusi lampu chandelier cawan plastik dan skylight cembung membuktikan ianya mampu lebih menerangi ruang di bawahnya.. (Nurulshuhada et. al.,2011) dan (Raziana et. al., 2011)

Bentuk segitiga panjang seakan-akan coklat Toblerone pula membuktikan ia lebih mampu menyerap bunyi berbanding bentuk segitiga piramid.. (Yuhanis et. al., 2011)

Semakin capang telinga kita, semakin baik pendengaran kita.. (Mohd. Saman et. al., 2011)

Sementara air juga berkemampuan memendap bunyi.. (M.Zuhairi et. al.,2011). Ya tentulah begitu.. Itu sebabnya telinga kita sebu pendengarannya jika dimasuki air ketika mandi..

Sudut tertentu pemasangan para-para cahaya (light shelves) pula membuktikan kecerahan agihan cahaya yang berbeza.. (Reeza Hilmi et. al., 2011)

Dengan beberapa eksperimentasi penyerapan akustik, rasanya para pelajar ini tiada masalah untuk memendekkan masa gema sesuatu ruang yang bermasalah atau memendap bunyi dalam sesuatu ruang agar tidak mengganggu ruang lain.. Cuma pemahaman kaedah instalasi tentulah diperlukan jika apa yang mereka ujikan ini ingin dipasang dalam skala sebenar pada bangunan.

Harus diingat bahawa penyerap bunyi yang baik tidak semestinya pemendap bunyi yang baik. Kesemua eksperimentasi ujian bahan yang dilakukan adalah ujian kebolehan bahan-bahan itu memendap bunyi kerana bacaan diambil di luar ruang. Sebaliknya jika keupayaan penyerapan bunyi pula ingin diuji, seharusnya masa gema ruangan itu yang perlu diuji.

Sementara tiub pencahayaan pula menjadi pilihan eksperimentasi popular. Perkaitan panjang tiub menunjukkan kesan agihan pencahayaan yang berbeza akibat serapan cahaya. (Fernandez Au et. al., 2011).

Lain-lain eksperimentasi juga menarik dan membuktikan realiti sebenar di sebalik teori yang dipelajari.

Seperti biasa BFB4073 menjadi sebahagian dari penutup pengajian pelajar-pelajar ini di UTHM. Mengikut kajian, manusia akan lebih mengingati pembukaan dan penutup sesuatu perkara berbanding apa yang ada di pertengahan antara keduanya. Diharapkan begitulah.. Semoga ilmu dan pengalaman yang dikongsi bersama ini dapat dimanfaatkan..


Acoustic Wall : Museum of Tolerance

Friday, April 1, 2011

CTKSDSB di dalam CV saya...



Tentunya saya boleh sahaja menggugurkannya dari senarai pengalaman kerja di dalam 'Curriculum Vitae' saya. Dari sudut teknikal kesenibinaan, tidak banyak pengalaman yang saya kutip sepanjang 2 tahun saya di situ. Kerana CTKSDSB (ringkasannya... yang juga agak panjang..) sendiri bukanlah sebuah firma senibina, malah juga bukan syarikat kontraktor mahupun pemaju yang biasa menjadi sasaran carian kerja mereka yang sebidang dengan saya..

CTKSDSB hanyalah sebuah syarikat pemasangan kabinet yang memiliki kilangnya sendiri.


Ketika kegawatan ekonomi yang semakin mencengkam pada tahun 1999, saya sebenarnya masih bertahan di sebuah firma senibina. Namun akhirnya saya tiada pilihan lain tatkala firma benar-benar terdesak memberi cuti tanpa gaji dek kerana tidak berkemampuan menanggung gaji staf-stafnya lagi..

Carian kerja selanjutnya membawa saya ke CTKSDSB yang berpunca dari iklan kekosongan jawatannya di akhbar. Yang dicari ialah Pereka Bentuk Dalaman.. Saya pergi tanpa harapan besar, sekadar untuk tidak mahu bergelar penganggur.

Ironinya, setelah temuduga, saya ditawarkan jawatan Perekabentuk Jualan.. dan saya akui tatkala itu, saya keliru. Bukan keliru dengan jawatan itu tetapi sebaliknya keliru dengan keputusan saya menerima jawatan itu.. Saya di persimpangan di antara cita-cita menjadi Arkitek Professional dengan tuntutan kewangan.. apatah lagi Anizah sedang mengandungkan anak pertama kami, Irfan pada ketika itu..

Saya memberi diri sendiri masa dua minggu untuk mencuba kerja itu. Tugasannya, ialah menemui pelanggan yang ingin memasang kabinet di rumah mahupun pejabat dan mencadangkan rekabentuk kabinet itu sebelum mengikat persetujuan jual beli. Kemudiannya, menyediakan lukisan untuk pembuatannya di kilang sebelum memantau pemasangannya di tapak. Ada unsur Perekabentuk... dan ada juga unsur Jurujual... Maka itulah jawatannya disebut Perekabentuk Jualan.. (walaupun saya rasakan kurang tepat istilah itu..)

Menariknya, hanya saya dan Fazrin, seorang lagi Perekabentuk Jualan yang berjawatan ini. Yang lainnya adalah pekerja-pekerja kilang yang rata-ratanya dari Medan dan Acheh..

Dengan kemahiran melakar, saya rasakan tugas ini mudah.. sangat mudah.. lalu dalam dua minggu itu saya berjaya mencatat jualan RM46,000.00 ++. Dengan bayaran gajinya berlandaskan jualan dan di bayar dua kali sebulan, saya meraih sekitar RM2,500.00 dalam tempoh dua minggu tersebut. Saya mula yakin dengan pilihan kerja tersebut..

Bulan kedua, saya bertambah ligat. Yakin dengan kemurahan harga kabinet yang ditawarkan, membuatkan saya yakin membuat jualan. Kemahiran melakar saya gunakan sepenuhnya sebagai senjata. Kali ini catatan jualannya RM125,000.00 dalam tempoh sebulan. Walaupun pengurus tidak memberikan apa-apa reaksi dengan jualan itu, Zul, pengurus kilangnya memaklumkan itulah catatan jualan tertinggi dari seorang jurujual di syarikat itu sejak penubuhannya. Dan bulan itu saya pulang dengan jumlah RM5,000.00. Saya kira itu tinggi untuk umur saya ketika itu..

Cabaran mula hadir di bulan berikutnya. Jualan bulan lepas kini di peringkat pemasangannya di tapak (rumah dan pejabat).. Dan saya mula menimba pengalaman melayan kerenah pelanggan yang berbagai rencam. Rupa-rupanya memang ada manusia yang sengaja mencari alasan untuk tidak membayar peratusan wang terakhir yang dipersetujui. Bermacam-macam alasan diberikan yang akhirnya kita lesu untuk terus menagih hutang tersebut..

Ketika ini jugalah barulah saya sedari bahawa produk dari syarikat ini bukanlah sehebat mana.. Kekemasan kerja sangat dipertikaikan. Tentunya bagi seorang bekas Arkitek, saya sendiri cerewet sebelum melepaskannya kepada pelanggan saya..

Akibatnya, sejak bulan ketiga dan seterusnya, saya tidak pernah dapat menandingi jualan tertinggi itu lagi...

Bulan-bulan berikutnya Perekabentuk Jualan ditambah lagi. Dek ramainya penjual, maka ramailah pelanggannya. Termasuk pelanggan saya sendiri, ada yang bergelaran Datuk, Datin.. (ada yang cuba menyembunyikan gelaran itu.. tetapi ada juga yang memarahi kami kerana tidak memanggil dengan gelaran walaupun pertama kali bertemu..).

Ada juga dari kalangan artis, pengacara terkenal yang nampak mesra di kaca telivisyen tetapi sebaliknya bagaikan singa garang di luar dan berbagai lagi. Seorang pelanggan wanita pula berhabis-habisan melengkapkan kediaman seorang budak pejabat lelaki yang tampan.. (tentunya mengundang syak wasangka kita..) dan bermacam-macam lagi.

Kebanyakkan pelanggan sebenarnya terdiri dari kalangan wanita kerana kebanyakkan projek adalah melibatkan kabinet rumah kediaman. Kalau ada yang lelaki pun, akhirnya menyerahkan kepada isteri masing-masing untuk membuat keputusan. Namun ada juga projek ruang dalaman pejabat, kaunter, hospital dan lain-lain.

Malah seorang rakan Perekabentuk turut mendapat projek menyiapkan ruang dalaman pusat dangdut yang lengkap dengan pintu-pintu rahsia tempat GROnya melarikan diri. Takut rasanya memikirkan saham akhirat dari projek seumpama itu.. Malangnya rakan saya itu meneruskannya juga hingga siap..

Ironinya bulan berikutnya, kereta beliau ditarik oleh penarik kereta kerana hutang yang tertunggak. Mungkin ada kaitan dengan keberkatan rezeki agaknya.. Dan yang menariknya, salah seorang penarik kereta tersebut merupakan seorang pelakon hero sasa yang biasa muncul di kaca TV. Tetapi kali ini beliau tidak berlakon, malah tidak senyum sedikit pun..

Mungkin kerana merasakan kerja di situ agak santai berbanding sebagai Arkitek, maka pada tahun kedua, saya mendaftar untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Master secara penyelidikan. Mungkin merasakan saya akan meninggalkan syarikat, pengurus lalu menawarkan jawatan baru 'Pengurus Operasi' kepada saya. Peratusan kecil saham syarikat turut ditawarkan yang menyebabkan saya tidak teragak-agak lagi untuk menerima.. Saya juga diberikan sebuah bilik bertentangan dengan bilik pengurus besar.

Namun bilik itu jugalah pernah memalukan saya. Suatu pagi, saya hadir disambut dengan kereta peronda polis di hadapan pejabat. Rupa-rupanya pejabat dipecah masuk. Tiada barang berharga yang hilang. Komputer juga tidak diambil tetapi seluruh pejabat diselongkar termasuklah bilik saya. Saya memang tidak pernah mengunci bilik ini hatta ketika cuti sekali pun kerana terdapat sebuah kabinet fail besi yang dikongsi sama oleh seluruh pekerja pejabat di dalam bilik ini.

Ketika memeriksa kabinet ini, polis yang ada bersama-sama saya tersenyum kepada saya tanpa saya ketahui mengapa. Setelah polis tersebut beredar, salah seorang pekerja memaklumkan bahawa sebelum saya tiba, mereka telah terlebih dahulu telah masuk ke bilik itu bersama polis tersebut.

Seorang dari rakan Perekabentuk menjadikan almari itu sebagai tempat rahsianya menyimpan koleksi CD-CD lucah. Dan satu-satunya jenis barang yang hilang dalam kes tersebut adalah CD-CD itu.. Yang memalukan saya ialah pencuri itu hanya mengambil CD-CD itu sahaja tetapi kertas paparan hadapan CD-CD tersebut dengan gambar-gambar lucahnya telah diserakkan bersama-sama dokumen-dokumen lain dari almari itu di lantai bilik saya. Maka tentunya apabila polis itu mendapati ianya di dalam bilik saya, persepsinya kesemua CD-CD itu adalah milik saya..

Selang seminggu dari peristiwa pecah masuk itu, gempar di berita seorang pemimpin Gerakan Acheh Merdeka ditembak mati di Kuala Lumpur. Memandangkan syarikat CTKSDSB sebelumnya adalah milik Arwah, maka berbondong-bondong pemberita datang menyerbu menemuduga. Dek kerana Pengurus Besar sedang bercuti di Australia, maka ia menjadi pengalaman pertama saya ditemubual ala 'press conference' oleh beberapa wartawan serentak. Pada ketika itu kesemua pekerja kilang berdarah Acheh menghilangkan diri, khuatir dengan keselamatan masing-masing..

Tragis di CTKSDSB bermula ketika saya hampir dua tahun di situ. Saya sedang berkira-kira tentang agihan keuntungan peratusan kecil saham syarikat yang telah saya tandatangani. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan berita Pengurus Besar dimasukkan ke ICU kerana serangan strok.

Dua minggu beliau tidak sedarkan diri, dan dalam tempoh itu saya membawa borang 29 ROC ke bank untuk mendapat kebenaran menguruskan akaun syarikat. Sepanjang tempoh saya menerima tawaran sebagai pengarah, saya tidak pernah melihat penyata akaun syarikat. Pengurus besar menguruskannya sendirian. Malah seorang lagi pengarah yang merupakan abang kandungnya juga langsung tidak pernah muncul di pejabat.

Lalu secara tidak langsung, saya terpaksa menguruskan syarikat tersebut sendirian. Hari gaji staf hanya dalam hitungan hari sahaja lagi. Nilai keseluruhannya hampir RM50,000.00. Operasi kilang memerlukan lagi sekitar RM30,000.00. Dan saya hampir pitam melihat penyata akaun yang dicetak oleh bank untuk saya...... Baki terkini, RM 1645.00

Lalu bermulalah pengalaman perit bagi saya menguruskan syarikat sebegitu. Semua kutipan hutang tertunggak saya kerahkan. Akhirnya separuh gaji staf dapat dilangsaikan. Saya terpaksa berucap di hadapan pekerja kilang dalam situasi yang sukar ketika melepaskan hanya separuh dari gaji mereka. Saya sendiri cuba bertahan tanpa mengambil satu sen pun gaji saya sendiri..

Ramai rakan-rakan lain yang biasa berniaga memberikan pendapat yang kemungkinan Pengurus Besar telah mengalihkan wang syarikat dari akaun tersebut. Lalu saya berharap begitu. Maka, apabila beliau mulai sedar, itulah soalan utama saya kepadanya. Namun penafiannya benar-benar menggugat kesabaran saya...

Episod sukar semakin menyulitkan dalam dua bulan berikutnya. Beberapa Perekabentuk Jualan sudah tidak masuk berkerja lagi. Beberapa pekerja kilang juga begitu. Pembekal yang terdesak pula menawarkan kontra yang bukan-bukan.. Dalam kekalutan itu, seorang pembekal mengambil keputusan membunuh diri dengan terjun dari Apartment rakannya.. Lantas menyedarkan saya bahawa, kesukaran yang saya hadapi mungkin belum benar-benar sukar. Ada lagi yang lebih terdesak..

Bulan ketiga dari peristiwa itu barulah Pengurus Besar hadir masuk bekerja semula. Sebatang tongkat menemaninya. Beberapa hari saya memerhatikannya dari cermin besar antara bilik saya dan biliknya. Beberapa hari itu juga beliau sibuk belajar menandatangani cek dengan tangan kiri lantaran tangan kanan yang masih tidak mampu digerakkan.

Akhirnya dengan sisa-sisa kekuatan, saya menemuinya memaklumkan yang saya mengalah. Saya tidak mampu menguruskan syarikat itu dalam keadaan itu. Ada harapan di hati saya untuk beliau mengaku mengalihkan wang dari akaun utama syarikat jika saya memaklumkan sedemikian. Saya yakin beliau masih ada simpanan. Kalau tidak masakan beliau mampu bercuti bersama keluarganya di Australia beberapa bulan lalu..

Ketika itu agihan perkongsian saham sudah bukan agendanya lagi. Saya hanya mahu duit itu digunakan untuk menyelamatkan syarikat. Namun beliau tetap menafikannya.. Dan saya tiada pilihan lain selain menyuakan surat perletakkan jawatan saya kepadanya. Saya sedar yang saya mungkin kejam bertindak sebegitu dalam pada keadaannya begitu, tetapi saya sendiri ketika itu sudah tiga bulan tanpa gaji..

Kini telah 10 tahun saya meninggalkan syarikat itu. Malah CTKSDSB juga kini sudah tidak wujud lagi. Sesekali Pengurus Besar itu masih menelefon saya meminta bantuan pinjaman wang. Atas dasar dia pernah membantu saya ketika saya sukar, saya tidak pernah menghampakannya... walaupun sebenarnya saya sangat kecewa dengan beliau..

Walaupun singkat, saya kira pengalaman di situ sangat memberi kesan kepada diri saya hari ini. Biarpun tanpa timbaan pengalaman teknikal, pengalaman kehidupan yang ditimba membuatkan saya mengekalkannya sebagai sebahagian dari inti CV saya sekian lama.....

Friday, March 18, 2011

Giliran yang tertulis.......

Sebuah kisah Nabi Sulaiman (A.S.) menceritakan bagaimana kunjungan Malaikat Izrail dalam bentuk manusia kepada Nabi Sulaiman menimbulkan reaksi dari salah seorang sahabat Nabi. Beliau telah ditenung dengan tenungan yang pelik oleh Malaikat Izrail si pencabut nyawa itu.

Oleh kerana hairan dengan tenungan itu, beliau seraya bertanya kepada Nabi Sulaiman setelah Malaikat Izrail pergi..

"Siapakah gerangan orang tadi..?" katanya.

Lalu Nabi Sulaiman memberitahunya bahawa itulah Malaikat pencabut nyawa..

Gelisah dengan jawapan itu kerana memikirkan ajalnya yang mungkin telah dekat, beliau meminta Nabi Sulaiman mengarahkan angin untuk membawanya jauh ke India. Lalu permintaan itu dikotakan Nabi Sulaiman.

Selang sehari, terdengarlah berita kematian sahabat ini di India. Maka apabila sekali lagi Malaikat Izrail menemui Nabi Sulaiman, baginda telah bertanya mengapa Malaikat Izrail memandang sahabatnya dengan tenungan yang pelik sebelum ajalnya.

Maka dikatakan oleh Malaikat Izrail bahawa beliau hairan bagaimana sahabat Nabi Sulaiman itu ada bersama-sama Nabi Sulaiman sedangkan mengikut ketetapan Allah, sahabat itu akan dicabut nyawanya di India sehari selepas itu...

------------------------------

5 hari sebelum berita kehilangan/kematian Datuk Sosilawati bersama 3 orang yang mengiringinya, saya bertemunya di R&R Machap. Beliau dari Johor Bahru ketika itu selesai dari jamuan berbuka puasa bersama MB..

Bersama Nazim, kami tiba di R&R jam 9.30malam seperti dijanjikan bersama pelan rekabentuk pembangunan yang beliau telah minta kami sediakan. Dalam pertemuan sebelum ini, kami membaca perwatakannya yang teliti dengan kehendak rekabentuk sesuailah dengan statusnya sebagai jutawan kosmetik.

Ironinya, pada malam itu beliau hanya mengambil masa lebih kurang 5-7 minit sahaja untuk melihat pelan cadangan itu sebelum ceria mempersetujui segala apa yang dicadangkan.

Kebetulan reaksi sebegini yang hadir 5 hari sebelum kematiannya pasti menimbulkan pertanyaan dibenak kita yang masih meneruskan kehidupan.. Apa mungkin orang yang akan mati dalam masa terdekat mengetahui takdir tersebut..

Berdasarkan kisah nabi Sulaiman dan sahabatnya tadi, saya rasakan tidak.... Ia kekal tertulis di Luh Mahfuz dalam pengetahuan yang Maha Esa, Allah sahaja...

Dari kedai si penjual seruling ke Bursa Grand Mosque..

Bursa adalah sebuah kota lama berhampiran Istanbul. Ia lebih tenang berbanding kepantasan Istanbul dalam aktiviti hariannya. Secara peribadi, saya sukakan Bursa. Nadi kehidupannya lebih berseni berbanding Istanbul walaupun bangunannya tidak sehebat Masjid Biru dan Aya Sofia..

Menyusuri kedai-kedai di Bursa membawa saya ke sebuah kedai menjual alat muzik tradisi orang-orang Turki. "This is Suffi music.." begitu pengenalan anak si pengukir seruling yang tekun dengan kerjanya. Dengan sedikit kemahiran bertutur Bahasa Inggeris, beliau gigih cuba menerangkan perihal muzik ahli Suffi itu.. Menurutnya syair-syair Suffi dibacakan sambil diiringi tiupan seruling itu. Setiap kod bunyi dari seruling itu pula ada falsafahnya dan ia harus sepadan dengan bait-bait syair yang diiringinya.. Kalau tidak kerana jadual perjalanan yang ketat, mahu sahaja saya duduk lebih lama di situ mempelajari perihal muzik ini.. Malah katanya lagi dari muzik inilah tarian skirt kembang Turki dengan topi tarbus yang popular itu bermula...

Saya menyusuri Bursa lagi.. Berhampiran deretan kedai-kedai tadi adalah Grand Mosque of Bursa. Ianya sebuah masjid lama peninggalan Empayar Uthmaniah di Turki. Dikhabarkan ia dibina sekitar tahun 1300an.

Keseluruhan ruang solatnya samar. Tidak banyak tingkap dan bukaan dibina pada binaan bangunan ini. Dengan dinding tebal gaya Seljuk, binaan ini hanya membenarkan cahaya matahari menyelinap masuk padar kadar yang rendah. Beberapa bukaan udara dari kerawang tinggi juga membenarkan sedikit sahaja cahaya langsung menembusinya dek kerana dindingnya yang tebal..

Bagi sebuah binaan di negara beriklim sebegini, tentunya binaan seperti itu mampu membendung udara sejuk dari luar masuk ke dalam bangunan. Dengan kehadiran saya di sini adalah pada penghujung musim sejuk 2010, ruang sebegini mampu membuatkan tubuh khatulistiwa saya sedikit selesa.

Tatkala melangkah masuk ke ruang solatnya, saya terpandang beberapa kompartmen di sepanjang sisi kiri dan kanan dinding sebelah dalam ruang tersebut. Lantainya sedikit tinggi seakan-akan pangkin. Hamparan permaidaninya juga agak lebih tebal berbanding permaidani lantai. Di situlah bukaan tingkap rendah disediakan. Oleh kerana ianya agak rendah, maka cahaya matahari dari luar hanya masuk pada aras pinggang ke bawah sahaja. Malah dari tempat saya berdiri untuk memulakan solat tahyatul-masjid, tiada pemandangan luar yang dapat dinikmati menerusinya.

Lalu setelah selesai solat, saya menuju ke salah satu daripada beberapa kompartmen kecil itu dan mula menyedari bahawa ianya merupakan ruang duduk untuk seorang beriktiqaf. Kecilnya ruang itu hanya membolehkan seseorang bersolat duduk sahaja di situ. Sebuah rak kecil mengisi AlQuran terletak di sisinya.. Dengan cahaya matahari dari tingkap rendah, ia cukup untuk menerangi paras tangan saya yang mula memegang AlQuran.. Berpermaidani empuk, pencahayaan yang ideal dan ruang yang intim.. saya kira ia cukup mengasyikkan untuk tujuan menguliti tinta Allah di situ..

Selesai itu, sebelum keluar, saya melewati sebuah ruang pancuran air untuk berwuduk di dalam bangunan di tengah-tengah ruang belakang. Walaupun bumbungnya dilengkapi kubah kecil, namun struktur kubah tersebut membenarkan cahaya luar masuk menerusi bahannya yang samada kaca ataupun polikarbonat. Ini menjadikan ruang ini seperti sebuah atrium yang terbuka. Saya tidak berwuduk di sini tadi kerana tidak menyedari kehadiran pancuran ini...

Dari sudut kesenibinaan, adalah tidak bijak menyediakan ruang pancuran di tengah-tengah ruang solat sebegini. Namun sebenarnya terdapat kisah yang menarik di sebalik ruang pancuran ini.

Diceritakan bahawa ketika masjid ini ingin dibina dahulu, terdapat sebuah rumah kecil milik seorang wanita yang bukan beragama Islam di tapak berkenaan. Oleh kerana beliau enggan berpindah, maka rumahnya dikekalkan ditapak itu sambil pembinaan masjid itu juga tidak dialihkan tapak cadangannya.

Lalu hasilnya tersergamlah masjid ini dengan sebuah rumah kecil milik wanita itu 'di dalam' ruang masjid. Wanita itu dibenarkan terus tinggal di situ sehinggalah kematiannya.. Kononnya sebelum kematiannya itu, beliau sempat bersumpah supaya tiada orang yang boleh bersolat di tapak rumahnya.. Oleh itu, apabila rumah usangnya dirobohkan, kerajaan Uthmaniyah membina sebuah pancuran air di situ untuk menghormati sumpahan wanita itu agar tiada orang bersolat di tapak tersebut..

Begitulah kisahnya........

Monday, March 7, 2011

Rezeki ke Tanah Haram...


Alhamdulillah, ketentuan rezeki Allah akhirnya membawa kaki ini menginjak di bumi Makkah dan Madinnah.. dan tentunya yang lebih utama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Terus terang sememangnya hati ini menganggap klise perihal kisah insan pilihanNya untuk menjejaki ke bumi bertuah itu. Anggapan saya sebelum ini, walaupun rezeki yang ditentukannya untuk hadir di bumi itu terdiri dari pelbagai aspek, namun ketentuan utamanya tentulah kesediaan diri dan kemampuan kewangan..

Lalu apabila pertama kali menyuarakan kepada Anizah untuk membawanya mengerjakan umrah sekitar bulan Disember lalu, saya penuh yakin akan dapat ke Tanah Suci Makkah dan Madinnah itu. Maka, persiapan pun dimulakan seawal beberapa bulan sebelumnya, baik dari segi ilmu mahupun fokus. Kami mengimpikan yang terbaik.. Masakan niat suci sebegini dihampakan Allah.

Visa yang ditunggu-tunggu masih belum keluar 4 hari sebelum tarikh berlepas. Doa tidak putus-putus dipanjatkan agar segala-galanya dipermudahkan. Malah cuti juga sudah dirancang..

Dua hari sebelum berlepas, akhirnya apa yang tidak ingin didengar disampaikan juga oleh wakil ajensi yang akan membawa kami... Visa gagal diperolehi kerana kerajaan Arab Saudi membekukannya sementara. Jauh di sudut hati memang kecewa tetapi seperti biasa saya cekap menyembunyikannya. Masih boleh menguntum senyum tatkala membatalkan cuti..

Tarikh baru diberikan ajensi adalah penghujung Januari, lalu pantas dipersetujui..
Sekali lagi, dua minggu sebelum tarikh berlepas, ditunda lagi oleh pihak ajensi. Alasannya tetap sama, visa yang dipohon tidak beroleh kelepasan.. Ramai jemaah yang telah sama-sama berkursus mula keresahan. Beberapa orang telah menarik diri dan ramai juga menunda terus ke bulan Mac dan April, malah Mei untuk disesuaikan semula mengikut jadual masing-masing.

"Kita macam mana..?" Anizah minta pendapat.. Dan saya katakan kita cuba pergi seawal tundaan masa yang ditawarkan.

Tarikh tawaran berganjak ke 3 Februari. Dengarnya tiada yang dari Batu Pahat dalam kumpulan ini. Kebanyakkannya dari kumpulan Koperasi Polis.

"Mesti dia orang semua satu geng.. kalau kita sertai, kita terkontang-kanting sendiri.." Anizah suarakan pendapatnya..

"Tak apa, kita pergi untuk menghadap Allah. Itu yang paling utama.." Respon saya.. Lalu tarikh tersebut kami persetujui.

Sekali lagi, beberapa hari sebelum tarikh tersebut, kegagalan memperolehi visa menyekat pemergian. Untuk kali ini, saya tidak lagi mengambil cuti awal-awal seperti sebelumnya. Malah keyakinan juga agak tipis berbanding sebelumnya.

Tarikh tawaran berganjak lagi ke 17 Februari. Entah mengapa, keyakinan lebih tinggi pada tarikh ini. 13 Februari akhbar-akhbar memberitakan visa umrah telah mula dikeluarkan semula setelah dibekukan sejak Disember. Kami bertambah yakin.. 14 Februari, saya mengemukakan permohonan cuti berasaskan keyakinan itu.

Malam 14 Februari, saya dan Anizah berbaring lebih awal di kamar tidur. Ia tiada kaitan dengan hari Valentine yang tidak pernah kami sambut.. tetapi semata-mata ingin anak-anak juga tidur awal untuk cergas keesokkan pagi bersama-sama hadir di Masjid menyambut maulidul Rasul.

Jam 4.30 pagi Anizah mengejutkan dari tidur sambil menyuakan paparan telefon bimbitnya dengan SMS dari ajensi. Waktu SMS jam 10.30malam ketika kami mungkin baru terlena malam tadi. Intipatinya... tarikh pemergian terpaksa ditunda lagi. Visa masih belum mendapat pelepasan..

Hati mula bercampur baur dengan segala macam perasaan.. Lalu kaki digagahkan untuk bangun, membersihkan diri dan berwuduk sebelum akhirnya berdiri di atas sejadah untuk bersolat taubat. Tanpa dapat dikawal, air mata berderai bersama Takbir utama dan sepanjang Al Fatihah..

Seusai memberi salam, hati ini benar-benar pasrah dengan ketentuan itu, dan barulah ertikata sebenar rezeki untuk hadir menghadapNya di Tanah Suci benar-benar dihalusi. Ia jauh lebih besar dari kesediaan diri dan kemampuan kewangan........................

Keesokkannya saya sudah mampu berselawat ke atas Nabi dengan lebih tenang. Sambil bertekad, apa jua tarikh tundaan yang ditawarkan selepas ini, akan saya akuri..

16 Februari saya hadir awal di pejabat untuk membatalkan cuti buat kali ketiga..

Namun tatkala kali melangkah keluar dari pejabat, telefon bimbit saya berbunyi menerima panggilan dari Zairil, wakil ajensi.. "Abang Din.. minta 'standby' ye untuk berlepas esok.. Visa InsyaAllah dapat petang ni.." saya terkedu..

Lalu berpatah balik ke pejabat untuk memberi penjelasan kepada Ruzehan yang menjaga cuti, juga meminta beliau turut sama 'standby' untuk meneruskan atau membatalkan cuti tersebut..

Sehingga jam 5.00 petang, panggilan pengesahan yang ditunggu-tunggu masih belum ada tandanya..

Dan akhirnya 6.30 petang, barulah panggilan dari Zairil diterima dengan nada suara gembiranya. "Pasport abang dan kakak dah ada depan saya ni dengan visanya sekali..!"
Dan kata-katanya di belakang ayat itu tenggelam bersama kesyukuran paling asyik yang dipanjatkan kepada Allah.. Malah saya tidak ingat bagaimana perbualan telefon itu ditamatkan..

Alhamdulillah 17 Februari jam 3.30 petang, kami bersama-sama 26 jemaah lain selamat berangkat ke Dubai dan seterusnya Madinnah dengan pesawat Emirates..

Tuesday, February 1, 2011

Balada si penyewa bangunan....

Si penyewa ini terdesak. Bossnya sudah mengarahkan supaya ruang bangunannya ditambah. Dia bertanya pada bossnya semula..."Tidak ada peruntukkan kah untuk tambahan bangunan baru?"

"Tak ada" jawab bossnya. "Kau cari bangunan sewa ajelah.."

Lalu dia pun mula mencari bangunan yang sesuai..

Kebetulan dia terjumpa sebuah bangunan milik sahabat bossnya.. Dengan gembira dia menyatakan hal tersebut kepada bossnya. Tentunya dapat harga sewa yang rendah.. Yelah, tuan punya bangunan dan bossnya bersahabat lah katakan..

Pada hari perjanjian dimeterai, dia menjeling pada kontrak sewaan. Ishh.. macam tak percaya pulak. Harga sewaan tetap tinggi.. Oh, mungkin mereka bersahabat suam-suam kuku sahaja, fikirnya tentang tuan punya bangunan dan bossnya itu.

Selesai ditandatangani perjanjian itu, bossnya memanggilnya lagi..
"Kau ubahsuai bangunan itu mengikut keperluan kita! Aku bagi kau masa 2 bulan.."

Maka lintang pukanglah dia menguruskan ubahsuaian itu.
Dan dek kaliber nya dia sebagai penyelesai masalah, selesai 2 bulan siaplah kerja-kerja yang memeningkan itu.. Pening sebab masanya suntuk bukan kepalang..

Selesai siap, mula terdengar desas desus bangunannya akan diperiksa oleh jabatan-jabatan yang berkaitan. Pendek kata, semua jabatan yang berkaitan dengan Sistem Bangunan hendak datang..

Jabatan Air hendak memeriksa sistem paip ubahsuaiannya..
TNB hendak memeriksa sistem pendawaian elektriknya..
Jabatan Bomba hendak memeriksa sistem pencegahan kebakarannya..
IWK hendak memeriksa sistem kumbahan..

Dia pening lagi. Sekali lagi dengan kaliber yang ada, dia menyusun perunding-perunding untuk bangunan itu. Dia pun melaporkan kepada bossnya tentang keadaan semasa itu..

"Kita tak boleh lantik perunding.. Itu bidang kuasa tuan punya bangunan.." kata bossnya..

Lalu dia pergi kepada tuan punya bangunan.. Sambil peningnya bertambah lagi..
"Korang yang pandai-pandai ubahsuai.. Koranglah yang lantik dan bayar perunding-perunding tu.."

Kali ini dia makin pening...

Lagi tambah pening bila dalam kepeningan itu, dia ternampak bossnya bersembang rancak sambil gelak ketawa dengan tuan punya bangunan itu di Cafe kelab golf..

Tak nampak tanda kesuaman kuku langsung dalam persahabatan mereka..

Dia pening terus......................

Saturday, January 29, 2011




Ketika berusaha membangunkan sebuah taman awam baru-baru ini, terdengar kembali stigma yang pernah beberapa kali mengganggu fikiran ini..

Katanya: "Pembangunan landskap skala besar-besaran berpotensi memberi ruang perilaku maksiat kepada masyarakat.."

Apa benar begitu..? Sama ada kita yang menyebabkannya begitu atau ruang itu yang bersalah mengundang naluri shahwat kita..?

Seorang rakan turut terima tempiasnya. Cadangan awal beliau membangunkan sebuah hotel bajet di pekan Parit Raja Batu Pahat (yang merupakan hotel pertama di situ..) juga mendapat komen yang sama.. Alasannya esok ramailah budak-budak muda di pekan itu menyewa bersama pasangan mereka untuk aktiviti terlarang..

Rakan itu tidak peduli, hotel itu dibangunkan juga. Kini setelah beberapa tahun beroperasi dengan poster larangan perlakuan maksiat di hotelnya terpampang di tangga naik ke bilik-bilik, kes tangkapan yang dicatatkan = sifar..

Lalu teringat tentang hasil kajian di Pulau Pinang sekitar tahun 2000 hingga 2001 dahulu. Dengan kerjasama JAIPP, kes-kes perlakuan tidak sopan di taman-taman awam dikaji perkaitannya dengan persekitaran landskap lokasi tangkapan tersebut..

Ini bicara kajian itu:

1. Dari kalangan lelaki yang ditahan, 47% sememangnya tahu perlakuan mereka itu boleh menyebabkan mereka ditahan. 32% tak tahu.. Bakinya tidak pasti..

2. Dari kalangan wanita pula, 41% sememangnya tahu risiko akibat perlakuan itu. 33% tak tahu dan bakinya tidak pasti..

3. Dari keseluruhan lokasi tangkapan, tiada satu pun lokasi yang direkabentuk untuk aktiviti-aktiviti aktif. 55% adalah di lokasi aktiviti separa pasif. 45% di lokasi beraktiviti pasif.

4. Dari keseluruhan lokasi tangkapan, 67% merupakan lokasi yang tidak dirancang fungsinya secara spesifik.

5. 72% dari keseluruhan lokasi merupakan lokasi yang boleh dimasuki sepanjang masa (24jam)..

6. Dan yang bahayanya.. 54% dari keseluruhan lokasi tangkapan merupakan lokasi yang direkabentuk untuk kanak-kanak.. Ini menunjukkan rasa segan kepada ibu bapa yang hadir menemani kanak-kanak mungkin sangat tipis.. Apatah lagi terhadap kanak-kanak itu sendiri..

7. Dari keseluruhan lokasi tangkapan, 62% merupakan kawasan yang tidak kemas rekabentuk persekitarannya. Ini termasuk kawasan yang sengaja direkabentuk untuk tampil rugged dan kasar..

8. Dari keseluruhan lokasi tangkapan, 69% lokasi turut terdapat sekurang-kurangnya satu pasangan lain yang sedang berdua-duaan.

9. 43% dari keseluruhan lokasi tangkapan pula merupakan lokasi yang terdedah dari segi visualnya. 43% separa terdedah dan hanya 14% sahaja merupakan lokasi yang terlindung sepenuhnya..

...... Jadi, apakah ruang-ruang itu yang menyebabkan manusia berperlakuan sebegitu atau manusia dengan perlakuan sebegitu yang mencari ruang-ruang itu........?