Saturday, November 17, 2012

Generasi Skrin

Saya sedikit lemas melihat generasi menghadap skrin ini. Gambar seorang kanak-kanak sedang berkhatan sambil bermain PSP di surat khabar baru-baru ini sangat mengganggu saya. Anak-anak saya kata 'cool' budak itu.. Saya tidak rasa begitu pula..

Ya, memang ada kesan baiknya menatap skrin ini. Maklumat yang melimpah ruah di dalamnya boleh sahaja dibaca untuk menambah pengetahuan kita (hanya pengetahuan sahaja tetapi tanpa pengalaman).. Pilih sahaja apa yang mahu dilihat dan dibaca.. dari yang sebersih-bersihnya hinggalah yang sekotor-kotornya. Semuanya ada.

Tetapi di sebalik itu, kesan buruknya pula ramai yang sudah tahu. Merosakkan mata (bila menghadap cahaya skrin terlalu lama), melemahkan otot (duduk terlalu lama..) dan macam-macam lagi. Skrin ini pula sudah tidak terhad kepada telivisyen dan komputer sahaja. I-phone, I-pad, Tab, PSP dan macam-macam gajet lagi.

Dengan masa kita yang hanya 24 jam sehari (kalau tak tidurlah..), jika kita memiliki kesemua media skrin itu, agak-agaknya berapa jam yang kita ada tanpa menghadap skrin. Jadi, waktu itulah sebenarnya untuk kita bersemuka dengan orang lain, berbual dan memahami dunia sebenar ini. Sedangkan beberapa jam kita menghadap skrin tadi, kita sebenarnya menyendirikan diri (walaupun konon-kononnya bersosial melalui Facebook dan Twitter).

Di dalam kereta ada LCD, dalam poket anak-anak ada PSP dan handphone.. Lalu program bercuti berjalan-jalan pun jadi sepi. Di dalam kereta masing-masing melayan gajet.

Di pejabat usah cakaplah. Memang masing-masing menghadap skrin. Saya memulakan kerja dahulu sebelum penggunaan komputer diaplikasi 100% untuk membuat lukisan pelan. Jadi berpeluang juga berkerja hanya dengan meja lukisan. Seingatnya pejabat di mana saya berkerja itu memang sangat meriah. Apatah lagi setiausaha bos pula sangat cantik. Wah! tambah meriah pejabat...

Berbalik pada generasi sekarang, saya memiliki hati yang skeptikal tentang keupayaan mereka berkomunikasi secara langsung. Sangat berbeza dengan generasi saya yang membesar tanpa pengaruh skrin yang meluas. Yalah kalau sudah berjam-jam tak bercakap, tentu ada kesannya. Mungkin esok nanti jika ibu memesan anaknya membeli barang-barang dapur, si anak hanya membawa Tab yang menunjukkan gambar-gambar itu ke kedai sebelum menyuakannya kepada pekedai. Oh, itu mungkin lebih baik lagi dari terus membeli di laman maya. Tahu-tahu dah sampai depan rumah di dalam peti barangan kita (ya, sudah ada pemilik rumah yang meminta saya merekabentuk peti barangan di sebelah peti pos hadapan rumah kerana kerapnya dia memesan barangan melalui laman maya ini..) Maka jual beli itu berlangsung tanpa perlu kita menggerakkan lidah pun..

Dah lah.. ni pun menghadap skrin juga menulis ni....  Jom kita minum sambil bual-bual di luar..............



Saturday, August 4, 2012

Rumah Murah

Bila disebut rumah murah, kita akan membayangkan rumah kos rendah dengan dinding batu blok pasir dan bumbung asbestos itu. Ertinya, rumah-rumah lain yang biasa-biasa itu sudah begitu sinonim dengan harga yang dianggap mahal.

Secara kasarnya kalau dahulu, anggaran kos pembinaan RM100 untuk setiap kaki persegi ruang lantai yang dibina sudah dianggap mewah. Kebiasaannya akan berada dalam lingkungan RM70 sehingga RM80 sahaja. Tetapi kini RM100 pun belum tentu cukup. Anggaran kasarnya akan mencapai sekurang-kurangnya RM120 bagi setiap kaki persegi. Itupun kita akan terpaksa bertolenransi dengan pilihan kemasan yang murah harganya (tentunya kualitinya juga rendah).

Memang tidak dinafikan ada pembina (bukan kontraktor) yang sanggup membina pada harga yang lebih rendah. Baru-baru ini seorang rakan berkelulusan PhD berbincang dengan saya tentang cadangannya mmbina rumah. Iya lah, kebiasaannya bagi yang dah bergelar doktor falsafah ini memang tinggi benar falsafahnya...

Dia berkeras memegang kata-kata seorang pembina yang sanggup membina rumahnya pada anggaran harga RM80 setiap kaki persegi binaan. Oh bahan binaan dengan bumbung dek keluli dan dinding bata pasir bukan masalah bagi Dr. ini. Tentu sahaja kita boleh rimbunkan tanaman peneduh di sekitar tapak rumahnya untuk menapis terik matahari sebelum ia membawa haba ke ruang dalam rumah itu. Tetapi apa yang sangat merunsingkan saya ialah pembina itu telah meyakinkan Dr. tersebut bahawa kos binaannya boleh sebegitu rendah kerana hanya pembina itu bersama seorang pembantunya sahaja yang akan mengerjakan binaan itu.

Lambat sikit tak apa.. yang penting murah... menurut Dr. ini. Tentunya ini bukan sedikit lambatnya, bahkan akan menjadi terlalu lambat...... Itu yang saya maksudkan sebagai pembina bukan kontraktor ini. Mereka akan melayan pembinaan ini seumpama tiada tarikh siap yang disasarkan...

Sebenarnya, berdasarkan penelitian saya, banyak kos sampingan lain yang boleh dijimatkan. Pokoknya, pemilik bangunan perlu telus akan perkara ini dengan arkitek. Penjimatan boleh dilakukan menerusi pilihan bahan binaan, rekabentuk dan juga teknik binaan. Bahan binaan juga boleh dikitar semula. Kayu-kayu lama contohnya boleh dibeli borong dari pemborong kayu lama. Malah ada yang lebih baik jenis kayunya dari jenis gred A yang tentunya telah masak kering sepenuhnya. Begitu juga dengan genting-genting dan blok jubin lama. Saya baru membeli genting tanah liat lama buatan Perancis pada harga 70 sen sekeping. Berbanding harga pasaran genting tanah liat sebegitu pada hari ini yang harganya berbelas ringgit sekeping...

Dengan rekabentuk yang baik, semua ini boleh digarap dan diubah menjadi karya yang 'baik'..

Ng Seksan juga ada contoh yang baik akan perkara ini di http://seksan.com/tenggiri.html

Tuesday, June 26, 2012

"Aku terima nikahnya...."

Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, saya sibuk ke sana ke mari menghadiri jemputan perkahwinan. Sebahagiannya ialah dari kalangan bekas pelajar-pelajar saya yang masih ingatkan saya dan sudi mengundang saya untuk meraikan hari bahagia mereka..

Dalam beberapa bulan itu juga, maka menerusi rangkaian sosial Facebook mereka akan mengubah status masing-masing. Ada juga yang memuat naik gambar-gambar majlis perkahwinan itu yang meriah. Secara dasarnya, saya tumpang gembira.. Apatah lagi mengingatkan betapa naifnya mereka di dalam kuliah saya dahulu, dan kini bergelar pegawai, jurutera, suami dan isteri orang.. Selalu saya doakan plajar-pelajar saya akan terus jaya dunia dan akhirat.

Rentetan ini mengingatkan saya pada hari pernikahan saya sendiri bersama Anizah hampir 14 tahun yang lalu.. Lewat petang itu setelah majlis berakhir, saya duduk bersama seorang dari biras saya (suami kepada kakak isteri saya..). Dalam suasana santai di anjung rumah kampung mertua kami, dia menasihatkan saya tentang perjalanan dunia suami isteri..

"Hari ini antara hari paling gembira untuk kau. Aku pun dulu sama juga.." saya masih ingat kata-kata dia. "Setahun dua ini memang paling manis.. Tapi nak kekalkan kemanisan itu selepas 10 tahun dah mula mencabar.. 15 tahun.. 20 tahun.. dan seterusnya akan sentiasa ada cabarannya.." Saya hanya senyum mendengar kata-katanya.

Hari ini, perkahwinan saya sudah hampir 14 tahun. Saya akui kata-kata biras saya itu memang banyak kebenarannya. Memang ada pahit maungnya yang dilalui tetapi bagaimana kita sama-sama laluinya memang menjadi pengalaman yang amat berguna. 14 tahun belum cukup lama sebenarnya. Dalam pada saya mengharungi masa-masa itu bersama isteri saya, selalu saya cuba bayangkan bentuk hubungan dan komunikasi saya bersamanya, 10 tahun, 20 tahun akan datang... Itu pun jika kami sama-sama dipanjangkan umur.. InsyaAllah.

Secara peribadi saya selalu kagum melihat pasangan yang telah berumur tetapi masih mesra bersama. Ada yang memberitahu saya, kalau dibuatkan graf perihal kemesraan mereka, ianya menurun dalam lingkungan umur masing-masing meniti lewat 30an hingga 40 an. Ketika itu, tumpuan akan lebih kepada anak-anak dan pengembangan kerjaya. Kemudian, setelah semua anak-anak membesar dan tidak lagi tinggal bersama atau telah ke sekolah berasrama, kerjaya pula semakin menuju tahap tepu, mulalah mereka kembali memiliki masa tumpuan yang lebih tinggi untuk pasangan masing-masing.

Lalu dapat saya simpulkan bahawa lingkungan umur akhir 30 an hingga 40 an itulah cabarannya. Bayangkan jika dalam tempoh itu, tatkala masing-masing sibuk tadi, berlaku perkara yang betul-betul mencabar hubungan itu... Umpamanya kehadiran orang ketiga yang tidak direstui pasangan (yang direstui itu lain lah... mungkin tidak ada masalah sangat), atau umpamanya juga pasangan memberikan fokus berlebihan kepada kerjaya dan mengabaikan pasangannya.. Semuanya ini mungkin mengguris perasaan pasangan yang mungkin sukar untuk mereka menaikkan graf kemesraan tadi walaupun anak-anak telah tidak tinggal bersama dan kerjaya menuju tahap tepu...


Allah mengingatkan kita.. adakah kamu rasakan kamu telah benar-benar beriman sedangkan kamu belum diuji lagi. Memahami ayat itu, hati saya sebenarnya sangat takut dan waspada.. Dalam masa yang sama, saya berdoa agar saya dan isteri saya dapat sama-sama harungi cabaran itu. Saya mahu kami terus mesra meniti hari-hari tua kami nanti, hanya dengan izin Mu ya Allah.

Sunday, April 22, 2012

Warga Asing.. Siapa Yang Sebenarnya Terasing?

Marah benar nampaknya Zed Zaidi apabila hero Singapura Aaron Aziz mengungguli artis paling popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian baru-baru ini. Oh.. saya tidak mahu mengulas panjang lebar hal itu lagi. Rasanya sudah bertalu-talu berita berkaitan hal itu disiar dalam akhbar kebelakangan ini. Cuma sentimen beliau itu yang menarik perhatian saya.

Ya, rata-rata di mana pelusuk bumi sekali pun, akan timbul rasa kurang enak di kalangan 'orang asal' apabila yang mendatang tiba-tiba lebih berjaya. Itu sebabnya di sekolah berasrama, janganlah ada dari kalangan junior yang baru sampai sudah nak tunjuk lagak.. buruk akibatnya dikerjakan senior. Di sekolah saya dahulu, seorang junior ditampar mukanya oleh pelajar senior hanya kerana memiliki mata yang menjeling seakan-akan tidak puas hati.. Hah.. itu baru menjeling, belum lagi berjaya dalam apa-apa hal mengalahkan pelajar senior..

Dalam dunia hartanah pula, kini rengus-rengus tidak puas hati juga semakin kuat kedengaran apabila semakin banyak hartanah dibeli oleh para pendatang. Kini sudah ada iklan pembangunan hartanah yang tanpa segan silu mencanangkan pembangunannya sebagai hartanah ideal untuk pesara Singapura.. Yalah, memanglah atas dasar tukaran wang, tentunya warga Singapura memiliki kuasa beli yang tinggi berbanding rakyat kita sendiri. Namun rasanya tak perlulah keluarkan kenyataan sebegitu... Jika sesuai, mereka belilah.. jika tidak sesuai, tidak belilah..

Lalu ramai yang meminta Malaysia mengetatkan pemilikan hartanah oleh warga asing seperti mana yang dilakukan oleh Singapura baru-baru ini.. Namun statistik kajian Malaysia Property Inc. menunjukkan sebenarnya hanya 2% sahaja hartanah di Malaysia ini dimiliki oleh warga asing. Malah dalam masa yang sama nilai wang yang dikeluarkan oleh rakyat Malaysia untuk memiliki hartanah di luar negara berkemungkinan besar lebih tinggi. Berbanding negara-negara lain seperti China, India dan Singapura, kedatangan warga asing dalam kategori ekspatriat (yang mampu memiliki hartanah di Malaysia) sebenarnya merosot -9% sejak tahun 2000.

Dari satu sudut, oh.. baguslah kerana kita tidak perlu bersaing dengan daya beli mereka yang tentunya lebih tinggi.

Namun, apa petunjuknya ini? Ertinya negara kita tidak lagi menjadi pilihan pelaburan asing yang berminat membuka industri cawangan mereka di sini jika trend ini berterusan.

Kesannya? Akan berlakunya ketidaksampaian perpindahan teknologi dari luar yang biasanya membawa pelaburan dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Persoalannya mengapa? Kerana di negara-negara yang menjadi pilihan ekspatriat itu kini memiliki rakyat yang lebih tinggi kepakarannya berbanding kita. Juga lebih murah...

Maka kuranglah peluang pekerjaan di kalangan rakyat Malaysia. Juga bagi yang sudah bekerja, maka menjadi terhadlah potensi pengembangan kepakaran teknologi serta peluang memperolehi gaji yang lebih tinggi.

Akhirnya hartanah di negara ini yang tidak disaingi pembeliannya oleh warga asing tadi juga tidak mampu dibeli oleh rakyat Malaysia. Maka, tidak hairan juga melihat lambakan hartanah di Malaysia yang tidak terjual. Hakikatnya daya beli rakyat Malaysia juga sebenarnya mungkin semakin merosot sedangkan warga asing pun sebenarnya tidak berminat sangat membeli di sini.

Rantaian ini membuktikan undang-undang menyekat kemasukan warga asing dalam apa-apa industri di Malaysia ini bukanlah penyelesaian masalah. Yang masuk di sini hanya segelintir yang lebih kurang seperti kita juga. Sedangkan persaingan sebenar sudah dibuka di luar sana tanpa sempadan. Bukankah dunia sudah di hujung jari kita ?

Yang penting, tingkatkan kepakaran asas kita, berani bersaing dalam wadah tanpa sempadan itu dan dukungi semangat itu dengan doa. Ya, cabarannya memang lebih besar dari ruang lingkup fikiran kita.. ada agenda besar segelintir puak di akhir zaman ini yang mungkin menjadi ancaman kepada kita. Doa itu perisai kita.........

Thursday, February 23, 2012

Stack Effect House 4: The Stack Void



This is designed to be the void area above the dining place for air movement during stack effect process..

Monday, February 6, 2012

Kenali Sasaran Anda

Kenali sasaran anda. Anda harus boleh membayangkannya. Sasaran yang tidak boleh digambarkan dalam minda adalah sasaran yang kabur..

Kenali kaedah (mungkin juga kaedah-kaedah) untuk mencapainya. Rancang kaedah ini dengan rapi kerana dalam melaksanakan kaedah ini, anda mungkin harus berada dalam kelompok orang-orang yang berlainan matlamatnya. Anda harus kuat kerana mereka mungkin menarik anda ke arah matlamat mereka.

Ini mungkin kerana mereka kasihankan anda (kerana beranggapan hanya matlamat mereka sahaja tiket kejayaan sebenar). Atau mungkin mereka ingin menggunakan anda untuk mencapai matlamat mereka.

Laksana seorang penyerang prolifik penjaring gol.. ia menuntut kebijaksanaan merancang permainan, menggelicik, kadang kala berpusing balik, bertahan dan menggempur sebelum anda melepaskan rembatan. Oh ya, jangan lupa juga berlatih merembat dengan tepat...

Sense of Self

Knowing others is intelligence; knowing yourself is true wisdom. Mastering others is strength, mastering yourself is true power. - Lao-Tzu-

Set your aim. Go for it......

Being self driven, we need to have a strong moral compass - our true qiblah is what our mind and heart tell us. We dont have to follow trends or the usuall trodden path... We shall lead the way..