Friday, December 6, 2013

Bila ketua cakap, semua mesti diam dan angguk...

Semalam saya aturkan sessi bersama staf-staf saya. Pagi dengan kumpulan lain, petang dengan kumpulan lain. Bukanlah ramai mana pun...

Saya tak mahu sebut ianya sebagai mesyuarat, lalu saya sebut sebagai perbincangan. Dengan harapan dapat berbincang secara dua hala dengan lebih rancak. Nampaknya tak berapa menjadi juga strategi itu.

Kenapa harus diam monyok dalam sessi begitu? Oh.. mungkin sebab ada secebis slot dalam perbincangan itu di mana saya menegur (atau mungkin nadanya marah??.. rasanya tidak..) tentang perkara-perkara yang tidak betul. Maka, jadilah ia sessi yang meluahkan muka-muka yang ketat dan monyok.

Bukan mudah juga menangani manusia ini. Ada hati dan perasaan di sebalik tabir muka itu. Ada yang bijak menyorokkannya. Ramai yang tidak.. Kadangkala kagum juga saya dengan mereka yang di dalam bidang 'Human Resource'.. Hari-hari urusannya perihal manusia yang kompleks ini..

Perlukah semua angguk dan diam sahaja selesai seseorang ketua berkata sesuatu? Jika tidak setuju, luahkan sahaja. Tidak bolehkah begitu?

Mujurlah saya ada sedikit skill menangani situasi itu. Akhirnya dapatlah juga menarik diri mereka yang sebenar di meja perbincangan itu.

Namun, bagi pendapat saya, sikap ini banyak dipengaruhi oleh konsep pemikiran kita sebagai ketua dan ahli-ahlinya juga.

Bagi organisasi kerajaan, mungkin susah sikit, kerana budaya kerja dan konsep kerja yang diamalkan bertahun-tahun telah mewujudkan budaya 'bossy' yang bosan itu. Bagi ketua yang sedar, mungkin adalah usaha memperbaikinya. Yang tidak sedar dan yang memang suka 'bossy', sila layanlah kebosanan itu...

Tetapi bagi organisasi syarikat, saya sangat tertarik dengan konsep Ghanimah. Ada organisasi yang telah bertahun-tahun menjalankan konsep perkongsian bersama staf dan hasilnya dikhabarkan sangat positif.

Ghanimah itu sendiri bermaksud "perkongsian harta rampasan perang". Maka dalam perniagaan, ia melibatkan perkongsian keuntungan. Ini bukan gaji.. ini keuntungan dan setiap orang hatta pemandu, pembancuh teh pun patut dapat menikmatinya.

Saya menerapkan konsep ini, masih agak baru.. hanya untuk setiap individu dalam organisasi memiliki rasa tanggungjawab dan pemilikan yang lebih tinggi dalam organisasi. Ya, ada nampak kesannya tetapi biasalah, di peringkat bawahan, masih belum lagi.. dan saya takrifkan ini disebabkan mereka masih belum benar-benar faham akan konsep ini.

Harapnya cepatlah dapat lebihan keuntungan yang selesa sedikit, biar cepat semua dapat merasa bahagian masing-masing. Mungkin itu cara paling baik untuk membuat mereka faham dan seterusnya meningkatkan daya kerja masing-masing.. Harapnya begitulah......

No comments: