Friday, December 6, 2013

KOSMETIK KECIL DENGAN KESAN BESAR DI RUANG LAMAN


Saban hari dikelilingi ruang laman yang sama susun aturnya mungkin membuatkan kita ingin mencuba sesuatu yang baru. 

Ada kalanya kita tidak memerlukan masa yang begitu banyak mahupun kos yang terlalu tinggi untuk kita menyediakan sesuatu yang tampak baru dan segar di ruang laman kita. Seperti mana proses mengubah suai kereta yang biasa dikenali dengan istilah ’face lift’, ruang laman juga boleh dilakukan sedemikian.

Hanya dengan sedikit sentuhan ubahsuaian dalam rekabentuk landskap ruang berkenaan, kita boleh menghasilkan kesan perubahan yang besar. 

Ubahsuaian yang paling kerap dilakukan biasanya melibatkan kemasan lantai laluan. Gambar laluan di bawah menunjukkan ubahsuaian ruang kaki lima bangunan yang kini menjadi ruang laluan yang menarik. Memandangkan di bawah ruang ini masih terdapat longkang saliran tertutup, maka batu-batu sungai digunakan untuk menutupi sekeliling slab-slab konkrit pemijak. Ini membolehkan air hujan dari kawasan sekelilingnya menyerap masuk ke longkang tertutup tersebut. Slab-slab konkrit yang digunakan turut berkemasan lepaan batu-batu halus yang menjadikan ruang laluan ini tampil lebih eksklusif.




Gambar di bawah ini pula menunjukkan ruang laluan yang telah diberi kesan yang berbeza dengan teknik rimbunan tanaman di sisinya. Tanaman-tanaman tropika berskala sederhana menjadikan laluan-laluan ini kelihatan lebih santai berbanding jika kedua-duanya tampil dengan ruang berumput yang kosong di kiri dan kanannya. Secara tidak langsung, ia menjadi halangan pemandangan di tempat yang ingin kita lindungi.



Sementara itu, ubahsuaian kemasan dinding turut menjadi salah satu teknik untuk memberikan kesan yang berbeza dalam ruang laman. Tidak perlu dibuat untuk keseluruhan dinding yang besar. Memadailah sebahagian kecil ruang dinding saja. Walaupun kos ubahsuaian sebegini mungkin agak tinggi sedikit namun tidak dapat dinafikan ianya merupakan teknik yang mampu memberi kesan paling besar dalam kaedah ubahsuaian ruang ini.







No comments: