Friday, April 1, 2011

CTKSDSB di dalam CV saya...



Tentunya saya boleh sahaja menggugurkannya dari senarai pengalaman kerja di dalam 'Curriculum Vitae' saya. Dari sudut teknikal kesenibinaan, tidak banyak pengalaman yang saya kutip sepanjang 2 tahun saya di situ. Kerana CTKSDSB (ringkasannya... yang juga agak panjang..) sendiri bukanlah sebuah firma senibina, malah juga bukan syarikat kontraktor mahupun pemaju yang biasa menjadi sasaran carian kerja mereka yang sebidang dengan saya..

CTKSDSB hanyalah sebuah syarikat pemasangan kabinet yang memiliki kilangnya sendiri.


Ketika kegawatan ekonomi yang semakin mencengkam pada tahun 1999, saya sebenarnya masih bertahan di sebuah firma senibina. Namun akhirnya saya tiada pilihan lain tatkala firma benar-benar terdesak memberi cuti tanpa gaji dek kerana tidak berkemampuan menanggung gaji staf-stafnya lagi..

Carian kerja selanjutnya membawa saya ke CTKSDSB yang berpunca dari iklan kekosongan jawatannya di akhbar. Yang dicari ialah Pereka Bentuk Dalaman.. Saya pergi tanpa harapan besar, sekadar untuk tidak mahu bergelar penganggur.

Ironinya, setelah temuduga, saya ditawarkan jawatan Perekabentuk Jualan.. dan saya akui tatkala itu, saya keliru. Bukan keliru dengan jawatan itu tetapi sebaliknya keliru dengan keputusan saya menerima jawatan itu.. Saya di persimpangan di antara cita-cita menjadi Arkitek Professional dengan tuntutan kewangan.. apatah lagi Anizah sedang mengandungkan anak pertama kami, Irfan pada ketika itu..

Saya memberi diri sendiri masa dua minggu untuk mencuba kerja itu. Tugasannya, ialah menemui pelanggan yang ingin memasang kabinet di rumah mahupun pejabat dan mencadangkan rekabentuk kabinet itu sebelum mengikat persetujuan jual beli. Kemudiannya, menyediakan lukisan untuk pembuatannya di kilang sebelum memantau pemasangannya di tapak. Ada unsur Perekabentuk... dan ada juga unsur Jurujual... Maka itulah jawatannya disebut Perekabentuk Jualan.. (walaupun saya rasakan kurang tepat istilah itu..)

Menariknya, hanya saya dan Fazrin, seorang lagi Perekabentuk Jualan yang berjawatan ini. Yang lainnya adalah pekerja-pekerja kilang yang rata-ratanya dari Medan dan Acheh..

Dengan kemahiran melakar, saya rasakan tugas ini mudah.. sangat mudah.. lalu dalam dua minggu itu saya berjaya mencatat jualan RM46,000.00 ++. Dengan bayaran gajinya berlandaskan jualan dan di bayar dua kali sebulan, saya meraih sekitar RM2,500.00 dalam tempoh dua minggu tersebut. Saya mula yakin dengan pilihan kerja tersebut..

Bulan kedua, saya bertambah ligat. Yakin dengan kemurahan harga kabinet yang ditawarkan, membuatkan saya yakin membuat jualan. Kemahiran melakar saya gunakan sepenuhnya sebagai senjata. Kali ini catatan jualannya RM125,000.00 dalam tempoh sebulan. Walaupun pengurus tidak memberikan apa-apa reaksi dengan jualan itu, Zul, pengurus kilangnya memaklumkan itulah catatan jualan tertinggi dari seorang jurujual di syarikat itu sejak penubuhannya. Dan bulan itu saya pulang dengan jumlah RM5,000.00. Saya kira itu tinggi untuk umur saya ketika itu..

Cabaran mula hadir di bulan berikutnya. Jualan bulan lepas kini di peringkat pemasangannya di tapak (rumah dan pejabat).. Dan saya mula menimba pengalaman melayan kerenah pelanggan yang berbagai rencam. Rupa-rupanya memang ada manusia yang sengaja mencari alasan untuk tidak membayar peratusan wang terakhir yang dipersetujui. Bermacam-macam alasan diberikan yang akhirnya kita lesu untuk terus menagih hutang tersebut..

Ketika ini jugalah barulah saya sedari bahawa produk dari syarikat ini bukanlah sehebat mana.. Kekemasan kerja sangat dipertikaikan. Tentunya bagi seorang bekas Arkitek, saya sendiri cerewet sebelum melepaskannya kepada pelanggan saya..

Akibatnya, sejak bulan ketiga dan seterusnya, saya tidak pernah dapat menandingi jualan tertinggi itu lagi...

Bulan-bulan berikutnya Perekabentuk Jualan ditambah lagi. Dek ramainya penjual, maka ramailah pelanggannya. Termasuk pelanggan saya sendiri, ada yang bergelaran Datuk, Datin.. (ada yang cuba menyembunyikan gelaran itu.. tetapi ada juga yang memarahi kami kerana tidak memanggil dengan gelaran walaupun pertama kali bertemu..).

Ada juga dari kalangan artis, pengacara terkenal yang nampak mesra di kaca telivisyen tetapi sebaliknya bagaikan singa garang di luar dan berbagai lagi. Seorang pelanggan wanita pula berhabis-habisan melengkapkan kediaman seorang budak pejabat lelaki yang tampan.. (tentunya mengundang syak wasangka kita..) dan bermacam-macam lagi.

Kebanyakkan pelanggan sebenarnya terdiri dari kalangan wanita kerana kebanyakkan projek adalah melibatkan kabinet rumah kediaman. Kalau ada yang lelaki pun, akhirnya menyerahkan kepada isteri masing-masing untuk membuat keputusan. Namun ada juga projek ruang dalaman pejabat, kaunter, hospital dan lain-lain.

Malah seorang rakan Perekabentuk turut mendapat projek menyiapkan ruang dalaman pusat dangdut yang lengkap dengan pintu-pintu rahsia tempat GROnya melarikan diri. Takut rasanya memikirkan saham akhirat dari projek seumpama itu.. Malangnya rakan saya itu meneruskannya juga hingga siap..

Ironinya bulan berikutnya, kereta beliau ditarik oleh penarik kereta kerana hutang yang tertunggak. Mungkin ada kaitan dengan keberkatan rezeki agaknya.. Dan yang menariknya, salah seorang penarik kereta tersebut merupakan seorang pelakon hero sasa yang biasa muncul di kaca TV. Tetapi kali ini beliau tidak berlakon, malah tidak senyum sedikit pun..

Mungkin kerana merasakan kerja di situ agak santai berbanding sebagai Arkitek, maka pada tahun kedua, saya mendaftar untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Master secara penyelidikan. Mungkin merasakan saya akan meninggalkan syarikat, pengurus lalu menawarkan jawatan baru 'Pengurus Operasi' kepada saya. Peratusan kecil saham syarikat turut ditawarkan yang menyebabkan saya tidak teragak-agak lagi untuk menerima.. Saya juga diberikan sebuah bilik bertentangan dengan bilik pengurus besar.

Namun bilik itu jugalah pernah memalukan saya. Suatu pagi, saya hadir disambut dengan kereta peronda polis di hadapan pejabat. Rupa-rupanya pejabat dipecah masuk. Tiada barang berharga yang hilang. Komputer juga tidak diambil tetapi seluruh pejabat diselongkar termasuklah bilik saya. Saya memang tidak pernah mengunci bilik ini hatta ketika cuti sekali pun kerana terdapat sebuah kabinet fail besi yang dikongsi sama oleh seluruh pekerja pejabat di dalam bilik ini.

Ketika memeriksa kabinet ini, polis yang ada bersama-sama saya tersenyum kepada saya tanpa saya ketahui mengapa. Setelah polis tersebut beredar, salah seorang pekerja memaklumkan bahawa sebelum saya tiba, mereka telah terlebih dahulu telah masuk ke bilik itu bersama polis tersebut.

Seorang dari rakan Perekabentuk menjadikan almari itu sebagai tempat rahsianya menyimpan koleksi CD-CD lucah. Dan satu-satunya jenis barang yang hilang dalam kes tersebut adalah CD-CD itu.. Yang memalukan saya ialah pencuri itu hanya mengambil CD-CD itu sahaja tetapi kertas paparan hadapan CD-CD tersebut dengan gambar-gambar lucahnya telah diserakkan bersama-sama dokumen-dokumen lain dari almari itu di lantai bilik saya. Maka tentunya apabila polis itu mendapati ianya di dalam bilik saya, persepsinya kesemua CD-CD itu adalah milik saya..

Selang seminggu dari peristiwa pecah masuk itu, gempar di berita seorang pemimpin Gerakan Acheh Merdeka ditembak mati di Kuala Lumpur. Memandangkan syarikat CTKSDSB sebelumnya adalah milik Arwah, maka berbondong-bondong pemberita datang menyerbu menemuduga. Dek kerana Pengurus Besar sedang bercuti di Australia, maka ia menjadi pengalaman pertama saya ditemubual ala 'press conference' oleh beberapa wartawan serentak. Pada ketika itu kesemua pekerja kilang berdarah Acheh menghilangkan diri, khuatir dengan keselamatan masing-masing..

Tragis di CTKSDSB bermula ketika saya hampir dua tahun di situ. Saya sedang berkira-kira tentang agihan keuntungan peratusan kecil saham syarikat yang telah saya tandatangani. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan berita Pengurus Besar dimasukkan ke ICU kerana serangan strok.

Dua minggu beliau tidak sedarkan diri, dan dalam tempoh itu saya membawa borang 29 ROC ke bank untuk mendapat kebenaran menguruskan akaun syarikat. Sepanjang tempoh saya menerima tawaran sebagai pengarah, saya tidak pernah melihat penyata akaun syarikat. Pengurus besar menguruskannya sendirian. Malah seorang lagi pengarah yang merupakan abang kandungnya juga langsung tidak pernah muncul di pejabat.

Lalu secara tidak langsung, saya terpaksa menguruskan syarikat tersebut sendirian. Hari gaji staf hanya dalam hitungan hari sahaja lagi. Nilai keseluruhannya hampir RM50,000.00. Operasi kilang memerlukan lagi sekitar RM30,000.00. Dan saya hampir pitam melihat penyata akaun yang dicetak oleh bank untuk saya...... Baki terkini, RM 1645.00

Lalu bermulalah pengalaman perit bagi saya menguruskan syarikat sebegitu. Semua kutipan hutang tertunggak saya kerahkan. Akhirnya separuh gaji staf dapat dilangsaikan. Saya terpaksa berucap di hadapan pekerja kilang dalam situasi yang sukar ketika melepaskan hanya separuh dari gaji mereka. Saya sendiri cuba bertahan tanpa mengambil satu sen pun gaji saya sendiri..

Ramai rakan-rakan lain yang biasa berniaga memberikan pendapat yang kemungkinan Pengurus Besar telah mengalihkan wang syarikat dari akaun tersebut. Lalu saya berharap begitu. Maka, apabila beliau mulai sedar, itulah soalan utama saya kepadanya. Namun penafiannya benar-benar menggugat kesabaran saya...

Episod sukar semakin menyulitkan dalam dua bulan berikutnya. Beberapa Perekabentuk Jualan sudah tidak masuk berkerja lagi. Beberapa pekerja kilang juga begitu. Pembekal yang terdesak pula menawarkan kontra yang bukan-bukan.. Dalam kekalutan itu, seorang pembekal mengambil keputusan membunuh diri dengan terjun dari Apartment rakannya.. Lantas menyedarkan saya bahawa, kesukaran yang saya hadapi mungkin belum benar-benar sukar. Ada lagi yang lebih terdesak..

Bulan ketiga dari peristiwa itu barulah Pengurus Besar hadir masuk bekerja semula. Sebatang tongkat menemaninya. Beberapa hari saya memerhatikannya dari cermin besar antara bilik saya dan biliknya. Beberapa hari itu juga beliau sibuk belajar menandatangani cek dengan tangan kiri lantaran tangan kanan yang masih tidak mampu digerakkan.

Akhirnya dengan sisa-sisa kekuatan, saya menemuinya memaklumkan yang saya mengalah. Saya tidak mampu menguruskan syarikat itu dalam keadaan itu. Ada harapan di hati saya untuk beliau mengaku mengalihkan wang dari akaun utama syarikat jika saya memaklumkan sedemikian. Saya yakin beliau masih ada simpanan. Kalau tidak masakan beliau mampu bercuti bersama keluarganya di Australia beberapa bulan lalu..

Ketika itu agihan perkongsian saham sudah bukan agendanya lagi. Saya hanya mahu duit itu digunakan untuk menyelamatkan syarikat. Namun beliau tetap menafikannya.. Dan saya tiada pilihan lain selain menyuakan surat perletakkan jawatan saya kepadanya. Saya sedar yang saya mungkin kejam bertindak sebegitu dalam pada keadaannya begitu, tetapi saya sendiri ketika itu sudah tiga bulan tanpa gaji..

Kini telah 10 tahun saya meninggalkan syarikat itu. Malah CTKSDSB juga kini sudah tidak wujud lagi. Sesekali Pengurus Besar itu masih menelefon saya meminta bantuan pinjaman wang. Atas dasar dia pernah membantu saya ketika saya sukar, saya tidak pernah menghampakannya... walaupun sebenarnya saya sangat kecewa dengan beliau..

Walaupun singkat, saya kira pengalaman di situ sangat memberi kesan kepada diri saya hari ini. Biarpun tanpa timbaan pengalaman teknikal, pengalaman kehidupan yang ditimba membuatkan saya mengekalkannya sebagai sebahagian dari inti CV saya sekian lama.....

3 comments:

ell said...

pengalaman itu mematangkan..:)

Fadhil said...

pelajaran yang lebih bermakna adalaha dari pengalaman hidup kita...saya rs encik beruntung sbb dt pengalaman mcm ni..mmg btol2 memeri kesan pd hidup

Izudinshah said...

..selagi kita sentiasa belajar dan ambil iktibar dari apa yang berlaku, pengalaman itu akan sentiasa berharga dan mematangkan..